BM | EN | 中文

Ada remaja 15 tahun di Johor sanggup sertai sindiket penipuan kerana tertarik tawaran gaji

Remaja-15-tahun-sanggup-sertai-sindiket-penipuan-kerana-tertarik-tawaran-gaji.jpg

Gambar Ehsan FB Polis Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 9 MAC: Dengan tawaran gaji RM2,500 sebulan, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tidak lagi bersekolah sanggup menyertai sindiket penipuan menerusi iklan di Facebook dan menyamar menjadi kenalan dan ahli keluarga mangsa yang disasarkan.

Bukan itu sahaja, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan ahli sindiket turut menerima habuan berbentuk lima peratus komisyen daripada hasil penipuan yang berjaya dilakukan.

Beliau berkata remaja berkenaan adalah antara 18 ahli sindiket yang ditahan dalam serbuan di beberapa kediaman di Kempas dan Setia Indah, dari pukul 4.15 petang sehingga 10 malam tadi, di sini.

Advertisement

Ayob Khan berkata kesemua suspek terdiri daripada 15 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 15 hingga 35 tahun, disyaki mula menjalankan aktiviti itu sejak awal bulan ini.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu menipu mangsa dengan menyamar sebagai kenalan dan ahli keluarga melalui panggilan telefon dan WhatsApp. Setelah mangsa membuat semakan semula dengan mereka (rakan dan ahli keluarga sebenar), barulah mangsa sedar telah ditipu dan mengalami kerugian,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata turut dirampas ketika serbuan ialah 60 telefon bimbit pelbagai jenama, 13 buku nota yang mengandungi nombor telefon mangsa dan skrip perbualan serta 17 kad mesin teler automatik (ATM) pelbagai jenis bank yang disyaki digunakan ahli sindiket untuk menipu mangsa.

Advertisement

Ayob Khan berkata kesemua mereka direman antara sehari hingga empat hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda.

Beliau berkata dari awal tahun sehingga Februari tahun ini, sebanyak 48 kes penipuan dilaporkan dengan jumlah kerugian berjumlah RM398,000.

Advertisement

Justeru, beliau mengingatkan agar orang ramai sentiasa peka dengan setiap panggilan telefon dan jangan mudah percaya terutamanya yang melibatkan transaksi kewangan.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top