BM | EN | 中文

Ada marhaen bertebaran di kaki lima ketika ahli politik sibuk bercakaran

Sekolah-Baroka-Johor-Bahru-Homeless-gelandangan-jb.jpg

Gambar Ehsan FB Baroka Blessed

Advertisement

Oleh : Luthfi Yusri

Ketika saya menulis ini pada suatu petang, perasaan sebak dan hiba menyerang fikiran yang jarang sekali tersentuh mengenai hal-hal sensitif.

Sekalian umat manusia akur bahawa COVID-19 yang melanda dunia hari ini serba sedikit memporak-perandakan punca rezeki dan periuk nasi kita semua.

Advertisement

Ilustrasi artis ‘Makcik Kiah’ (Gambar Ehsan Web Bernama)

Bukan Makcik Kiah sahaja terkesan. Tapi Pak Lebai hujung kampung, pemilik rumah sewa yang menyewakannya kepada pelajar universiti di ceruk bandar. Makcik Maimunah ketua bahagian parti pun terkesan dek pandemik ini.

Kalau di Amerika Syarikat, sebahagian rakyatnya berdemonstrasi mendesak kerajaan negara itu membuka sektor ekonomi dan membantah perintah berkurung yang dilaksanakan walaupun kes posistif dan kematian akibat COVID-19 mencanak naik.

Kita selalu mendengar bahawa Amerika Syarikat pelopor dunia, tetapi ketika pandemik ini menyerang, mereka juga gagal mengurus survival ekonominya.

Advertisement

Saya berpeluang buat pertama kali semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama beberapa anak muda berpangkalan di Sekola Baroka, Jalan Dhoby di Johor Bahru menggerakkan inisiatif membantu golongan kurang bernasib baik.

Antaranya gelandangan yang hilang pekerjaan, tiada tempat untuk berteduh, yang pakaiannya kekal sama saban hari dan mak ayah terbiar dengan anak-anak berkeliaran di sekitar bandaraya.

Kasihan. Mereka tidak celik isu semasa negara khususnya berkaitan Bantuan Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Mac yang lalu.

Advertisement

Bila ditanya “Ada minta bantuan kerajaan?” – katanya, sama ada tidak tahu atau terus membisu mengemam bibir.

Bila ditanya “Datang naik apa?” katanya berjalan kaki dari Tambak Johor hingga ke Jalan Dhoby semata-mata untuk mendapatkan bungkusan makanan dari kami.

Bila ditanya “Kerja apa? Sekarang buat apa?” katanya duduk merempat dekat kaki lima sebab baru sahaja dibuang kerja.

Advertisement

Menurut statistik ketua perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang dilapor Berita Harian pada 9 April 2020, kira-kira 78.723 responden hilang pekerjaan melalui tinjauannya. Di Johor dikatakan kira-kira 15,000 pekerja diberhentikan serta-merta.

Maka, saya dan kawan-kawan terus menyediakan pek sumbangan makanan berbuka puasa dan makan malam buat para penerima yang kurang lebih 150 orang jumlahnya. Rata-ratanya wajah penerima yang sama – seperti acara-acara kami sebelum ini.

Kalau berkesempatan mengelilingi bandaraya ini dengan kenderaan atau motosikal – Johor Bahru yang nampak gah dengan seni bangunan, ukiran dan reka bentuk moden dengan jalan berturap sempurna – menunjukkan kawasan ini pasti didiami elitis.

Advertisement

Elitis yang poket mereka penuh wang ringgit. Hari mereka tentu padat dengan pertemuan bersama pemegang taruh, tender projek dan pegawai. Makan tengah hari mereka bukan di warung tepian jalan, tetapi di restoran elit yang secawan teh ais-nya ialah RM6.70.

Di sebalik kemegahan bangunan dan empayar syarikat di bandaraya ini, terdapat 1001 manusia yang sedang menghulurkan tangan untuk terus hidup dan tidak punyai jaminan masa hadapan.

Advertisement

Kemudian, ahli politik pula rampas-merampas kuasa di kala wabak COVID-19 menular. Teringat ketika menulis tentang ini, saya sempat membaca pesanan dalam kumpulan Whatapps. Ada rakan saling mencuit kerana suka berpolitik ketika COVID-19 ini. Mana tidaknya, penyokong tegar parti.

Ada penyokong tegar parti politik tertentu meratibkan “Hentikan politik ketika COVID-19!”. Sedangkan penyokong parti ‘itu’ yang sibuk merebut kuasa.

Saya menulis ini kerana ingin membuatkan kita berfikir. Sejauh mana sumbangan dan refleksi kita terhadap marhaen yang susah hidupnya? Sejauh mana kita membantu golongan ini yang sekian lama bertambah jumlahnya?

Advertisement

Luthfi Yusri merupakan aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia dan sedang menuntut di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top