BM | EN | 中文

98 peratus permohonan melanjutkan moratorium diluluskan

muhyiddin-perutusan-khas-23-sept-2020.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Sejumlah 98 peratus permohonan melanjutkan tempoh moratorium dan bantuan bank secara bersasar telah diluluskan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Pada Julai yang lalu, saya telah mengumumkan moratorium lanjutan dan bantuan bank secara bersasar.

“Sehingga 11 Sept, institusi perbankan telah berbincang dengan lebih 1.4 juta peminjam, dan lebih 380,000 peminjam telah mengesahkan yang mereka benar-benar memerlukan bantuan ini,” katanya dalam pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Advertisement

Muhyiddin berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan terkini dan akan memastikan institusi perbankan memainkan peranan membantu rakyat dan perniagaan yang benar-benar memerlukan dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.

“Saya menyeru orang ramai yang masih belum memohon untuk segera menghubungi institusi perbankan masing-masing untuk membuat permohonan,” katanya.

Bagi mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang terkesan oleh penularan Covid-19, kerajaan mengumumkan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman termasuk gadai janji dan sewa beli untuk tempoh enam bulan.

Advertisement

Program moratorium automatik itu berakhir hujung September.

Kerajaan hari ini mengumumkan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion seiring usaha memulihkan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top