JOHOR BAHRU, 16 DIS: Sembilan daripada 10 daerah di negeri ini terjejas akibat bencana banjir yang kembali melanda setelah hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, sebanyak 93 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir telah dibuka.
“Setakat jam 8 pagi hari ini, seramai 9,151 mangsa daripada 2,475 keluarga ditempatkan di 93 PPS yang dibuka di seluruh negeri ini.
“Kota Tinggi antara daerah yang terjejas teruk dengan beberapa laluan terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat banjir, antaranya di Kampung Tunjuk Laut dan Jalan Kampung Mawai Lama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, sebentar tadi.
Kenyataan itu turut memaklumkan amaran cuaca juga telah dikeluarkan bagi beberapa daerah di negeri ini.
“Amaran merah telah dikeluarkan di Mersing dan Kota Tinggi, amaran oren di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru manakala amaran kuning di Tangkak,” tambahnya.
JohorKini