BM | EN | 中文

90 KESALAHAN DITANGANI PPKPR SEPANJANG KEMPEN PRK TG PIAI

IMG-20191112-WA0017.jpg

 

PONTIAN, 12 NOV: Sebanyak 90 kesalahan telah direkodkan dan ditangani oleh Pegawai Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) sepanjang berlangsungnya proses Pilihan Raya Kecil (PRK), setakat ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Prof Dr Azmi Sharom, berkata, kesalahan-kesalahan tersebut kebanyakkannya berkenaan banting yang diletakkan di tempat yang dilarang.

“Selain daripada itu, kesalahan lain termasuklah banting yang tidak mempunyai nama pencetak dan sebagainya,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini, hari ini.

Beliau berkata, manakala, bagi tuduhan rasuah, tiga laporan telah dibuat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dua daripada laporan tersebut adalah berkenaan kes sim kad prabayar yang telah diedar, manakala satu lagi laporan berkenaan RM1,000 yang diberi kepada para nelayan di sini,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi laporan polis, sebanyak 31 laporan telah direkodkan setakat ini.

Dr Azmi turut menasihati mana-mana pihak untuk membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM jika berpendapat bahawa sesuatu perkara adalah salah sepanjang kempen PRK berlangsung.

“Secara realitinya bidang penguatkuasaan kami adalah terhad kepada kesalahan seperti banting dan sebagainya.

“Bagi kesalahan rasuah dan lain-lain, laporan hendaklah dibuat secara terus kepada pihak yang berkenaan,” katanya lagi

Mengulas mengenai proses pengundian awal pada hari ini, Dr Azmi berkata segalanya berjalan dengan lancar, terutamanya dilihat ramai pengundi yang menggunakan inisiatif Kad Pengundi atau ‘Voters Card’.

Setakat 10 pagi tadi, peratus keluar mengundi adalah pada 53 peratus, iaitu seramai 151 pengundi daripada jumlah keseluruhan 280.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top