BM | EN | 中文

89 murid dari tujuh daerah di negeri ini dilapor dijangkiti influenza

influenza.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 12 JAN: Seramai 89 orang murid dan pelajar pra-sekolah hingga tingkatan empat daripada tujuh daerah di negeri ini disyaki dijangkiti influenza.

Pengarah Pendidikan Johor,  Azman Adnan berkata, sehubungan itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah mengarahkan pengetua dan guru besar mengambil tindakan pencegahan dengan segera.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada sekolah-sekolah di negeri ini, seramai 89 orang murid disyaki dijangkiti influenza setakat tengah hari ini.

Advertisement

“Sehubungan itu, JPN Johor telah mengeluarkan arahan agar murid, pelajar atau warga sekolah yang mempunyai simptom influenza tidak dibenarkan hadir ke sekolah bagi mengelak penularan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Azman lagi, arahan penutupan kelas atau sekolah akan dibuat sekiranya jangkitan yang dilaporkan berlaku melibatkan jumlah yang ramai dan setelah mendapat nasihat daripada pejabat kesihatan.

“Setakat ini tiada kelas atau sekolah yang perlu ditutup namun kami akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa.

Advertisement

“Jika terdapat murid atau warga sekolah yang menunjukkan simptom influenza, sekolah diarah untuk mengasingkan mereka di bilik khas sebelum dihantar untuk mendapatkan rawatan segera,” ujarnya.

Tambah beliau, JPN Johor akan sentiasa berhubung dengan pejabat kesihatan daerah untuk mendapatkan maklumat atau tindakan lanjut yang perlu diambil.

“Sekolah yang mempunyai kes influenza juga sudah diarahkan untuk mencuci kelas dengan pencuci antiseptik atau pembasmi kuman selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” tambahnya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top