BM | EN | 中文

79 pekebun kecil nanas rugi RM2.9 juta akibat banjir – LPNM

Ladang-Nanas-LPNM.jpg

Gambar Hiasan (Gambar Ehsan LPNM)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 JAN: Bencana banjir yang melanda negara awal tahun ini menyebabkan 79 pekebun kecil nanas terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2.9 juta, gara-gara kawasan tanaman mereka seluas 62.55 hektar terjejas.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kawasan tanaman ini melibatkan 20 buah daerah dan enam negeri, dengan Pahang adalah negeri yang paling terjejas dengan nilai kerugian RM2 juta.

Ini diikuti Johor sebanyak RM760,000 dan lain-lain negeri seperti Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor.

Advertisement

“Laporan pekebun terjejas banjir ini telah kita kemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), untuk tujuan permohonan bantuan yang ditentukan di bawah Tabung Bencana Pertanian.

Tabung ini mempunyai peruntukan sebanyak RM80 juta dan yang kita minta khusus untuk penanaman nanas adalah sebanyak RM2.9 juta,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat LPNM di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata dengan bantuan yang diberikan kelak, pihaknya berharap penanaman nanas dalam kalangan pekebun kecil terjejas akan pulih seperti sedia kala, bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang kini sedikit terjejas akibat bencana banjir.

Advertisement

Katanya, pada tahun 2019, Malaysia mengeksport produk nanas bernilai RM492 juta ke lebih 20 buah negara, meningkat sebanyak 60 peratus berbanding RM343 juta pada 2018 dan produk yang diekport antaranya buah nanas segar, buah nanas dalam tin, jus nanas dan lain-lain.

“Setiap negara ini mempunyai permintaan buah nanas yang berbeza. Kalau negara di Timur Tengah, mereka lebih menggemari nanas jenis N36, manakala China sukakan nanas MD2.

“Setakat ini, negara yang paling tinggi mengimport nanas Malaysia ialah Singapura tetapi permintaan dari China pun semakin meningkat diikuti Jepun, Arab Saudi dan Mesir,” kata beliau.

Advertisement

Sementara itu, mengulas kerjasama LPNM untuk memperluaskan produk usahawan nanas dalam talian menerusi platform e-dagang Shopee Malaysia, Dr Sahruddin memberitahu ia masih dalam peringkat rundingan.

“Kita masih lagi berunding untuk memuktamadkan perkara itu dan ia tidak hanya melibatkan Shopee sahaja, malah beberapa platform e-dagang lain,” katanya

Kerjasama itu sebelum ini dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Mohd Khairuzamri M. Salleh, pada Disember lalu.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top