JOHOR BAHRU, 16 OGOS: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon hari ini mengesahkan tiada sebarang kelulusan diberikan kepada mana-mana firma swasta untuk menjalankan projek perlombongan bauksit di Kota Tinggi.
Chen Choon berkata beliau telah menyemak dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) setelah timbul dakwaan tersebut.
Menurutnya, Kerajaan Pakatan Harapan Johor memandang serius perkara ini, susulan dari laporan akhbar mengenai perancangan projek mega perlombongan bauksit yang dikatakan akan beroperasi di Kota Tinggi.
“Malah, hasil semakan tersebut juga tidak menemukan sebarang maklumat mahupun sebarang laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebagaimana yang didakwa diperoleh oleh firma tersebut,” Chen Choon berkata menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) turut mengesahkan bahawa tiada sebaranf permohonan dikemukakan oleh sebarang firma swasta bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di daerah tersebut.
Walaupun tiada aktiviti perlombongan bauksit yang sedang berjalan, Chen Choon berkata Kerajaan Pakatan Harapan Johor akan mengikuti rapat perkembangan semasa dan akan terus memantau isu tersebut bersama-sama dengan jabatan dan agensi berkaitan.
Penafian Chen Choon hari ini menjadikannya Exco negeri kedua yang menafikan kewujudan projek perlombongan bauksit tersebut.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, menyatakan bahawa Kerajaan Johor tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana syarikat berhubung pelaburan projek mega perlombongan bauksit di negeri itu.
Johorkini