BM | EN | 中文

75 peratus rakyat tempatan bekerja di Singapura dijangka digaji semula – Exco Johor

Mohd-Izhar-Ahmad-Exco-Johor-Adun-Larkin.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 13 JUL: Majoriti rakyat tempatan bekerja di Singapura yang ‘direhatkan sementara’ berikutan pandemik COVID-19 kini boleh menarik nafas lega kerana rata-rata majikan telah menyatakan kesediaan untuk menggaji semula mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia Johor, Mohd Izhar Ahmad berkata ia susulan perbincangan antara kerajaan negeri Johor bersama kerajaan Singapura serta beberapa majikan yang kebanyakannya adalah kilang-kilang utama di republik itu.

“Setakat ini, kira-kira 75 peratus daripada mereka akan diterima balik (digaji semula), 15 peratus masih ‘pending’ dan 10 peratus mengambil tekad untuk tidak lagi bekerja di Singapura.

Advertisement

“Jadi saya rasa masalah membabitkan mereka tidak berlanjutan kerana kita sudah ada usaha untuk menyelesaikannya,” katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terhadap waris penerima pencen Faedah Penakat Perkeso di Taman Impian Emas, di sini hari ini.

Mohd Izhar berkata mengikut data pihaknya, dianggarkan lebih 100,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura secara harian untuk bekerja.

Mohd Izhar melawat ibu bapa Nuruldin Abd Rahman, 34, yang meninggal dunia 1 Julai lepas, akibat masalah jantung ketika sedang berbasikal bersama rakan-rakannya (Gambar Ehsan FB Perkeso Johor Bahru)

Beliau berkata selain usaha itu, pihaknya turut menyediakan program pasca-COVID-19 bagi membantu individu yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan pekerjaan baharu atau menambah kemahiran mereka.

Advertisement

“Ini termasuk program padanan pekerjaan dan menyediakan kursus kemahiran jangka pendek.

“Program yang akan diperkenalkan tidak lama lagi ini akan membabitkan beberapa sektor pekerjaan mengikut permintaan pasaran, khususnya sektor kejuruteraan,” katanya.

Mengenai program ziarah itu, Mohd Izhar berkata Perkeso akan membayar pencen Faedah Penakat sebanyak RM995.40 setiap bulan kepada kedua-dua ibu bapa Nuruldin Abd Rahman, 34, yang meninggal dunia pada 1 Julai lepas, akibat masalah jantung ketika sedang berbasikal bersama rakan-rakannya.

Advertisement

Bayaran itu akan dibuat mulai 1 Ogos ini sehingga akhir hayat waris kerana Nuruldin merupakan pencarum insurans Perkeso, katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top