BM | EN | 中文

60 tekong, 90 migran ditahan di Johor sejak PKP dilaksana

IMG-20200512-WA0004.jpg

JOHOR BAHRU, 12 MEI: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, seramai 60 tekong telah berjaya ditahan pihak berkuasa negeri ini atas kesalahan penyeludupan migran.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tempoh sama pihaknya juga telah menahan seramai 90 migran.

“Tekong yang ditahan berusia antara 23 hingga 57 tahun manakala migran yang ditahan berusia antara 1 hingga 60 tahun.

“Menerusi Op-Pintas Bersepadu Selatan ini, kita akan memberi lebih tumpuan kepada penangkapan tekong dalam memastikan jenayah penyeludupan migran ini dapat dihalang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut menjangka akan ada lebih banyak pergerakan keluar migran dari negara ini menjelang ketibaan hari raya tidak lama lagi.

“Tujuan kita tangkap migran yang keluar adalah untuk siasatan bagi menangkap tekong. Kita perlukan saksi untuk menuduh tekong di mahkamah.

“Jika tindakan tidak diambil kita tidak akan berjaya menangkap tekong,” ujarnya.

Namun beliau memberitahu, perkara yang lebih dibimbangi adalah pergerakan masuk migran ke negara ini selepas tempoh perayaan.

Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan seramai tujuh tekong terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing telah dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Ahad lalu.

“Mereka dituduh dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top