JOHOR BAHRU, 14 JAN: Exco Kesihatan, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan memperkenalkan program 5G dalam usaha melahirkan rakyat Johor yang sihat dan penyayang.
Menurut beliau, program kesihatan ini wajar ekoran peningkatan jumlah pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti dan buah pinggang dijangka bertambah dua kali ganda menjelang 2040.
“5G itu terdiri daripada kata kunci gula, garam, ginjal, gigi dan gemuk (obesiti). Ini bermakna kurangkan gula dan garam, jaga ginjal dan gigi serta jangan gemuk.
“Penekanan untuk mengurangkan gula dan garam serta menjaga ginjal adalah kerana kadar statistik yang meningkat disamping perbelanjaan besar bagi rawatan hemodialisis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Kesihatan Negeri Johor, di sini semalam.
Tambah beliau, Majlis Agama Islam Negeri Johor memperuntukkan lebih RM50 juta untuk bantuan dialisis di lebih 200 pusat hemodialisis di negeri ini.
“Pelaksanaan Program 5G ini akan dilaksanakan daripada peringkat kerajaan negeri sehingga ke peringkat sekolah.
“Penglibatan kanak-kanak adalah penting kerana kebiasaannya masalah kesihatan berlaku bermula daripada usia kanak-kanak,” tambahnya.
Johorkini