SINGAPURA, 20 MEI: Singapura mencatatkan 570 lagi kes positif hari ini menjadikan jumlah kumulatif di republik itu kepada 29,364 kes.
Data tengah hari itu menunjukkan hanya dua kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap manakala kebanyakan kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.
Menurut laporan Bernama yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH), pihak berkuasa republik itu masih mengkaji butiran kes dan perkembangan lanjut akan dikongsi kemudian.
Sementara itu sehingga hari ini republik itu mencatatkan 10,365 pesakit pulih dari Covid-19.
Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasi 1,311 sebagai kes komuniti, 580 kes import dan 362 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama.
Sementara itu, kira-kira 92 peratus daripada jumlah kes atau 26,541 kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.
Pada Selasa, menurut kementerian itu 530 lagi kes jangkitan Covid-19 dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti manakala 1,004 kes masih di hospital dengan 10 kes menerima rawatan di unit rawatan rapi.
Sertai telegram Johorkini untuk mengetahui berita dan isu-isu semasa di Johor
Menurut MOH, 17,403 orang yang mempunyai simptom ringan atau secara klinikal baik tetapi ujiannya masih positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.
Sehingga kini, 22 orang mati akibat Covid-19 di Singapura.
Dua kluster iaitu NCS Hub di Ang Mo Kio Street, dan CitiWall di Kaki Bukit Crescent ditutup semalam berikutan tiada lagi kes dikaitkan dengan kedua-dua tempat itu sejak dua tempoh inkubasi yang lepas.
MOH juga mengenal pasti dua kluster baharu pada Selasa manakala kluster yang terbesar di republik itu, S11 Dormitory @ Punggol, mempunyai 2,585 kes yang disahkan.
Johorkini