BM | EN | 中文

525 karton minuman keras tanpa cukai dirampas di sekitar Johor Bahru

PPM-Wilayah-Dua-rampas-525-karton-minuman-keras-tanpa-cukai.png

Gambar Ehsan PPM Wilayah Dua

JOHOR BAHRU, 3 SEPT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas sebanyak 525 karton minuman keras tanpa cukai dipercayai diseludup, dianggarkan bernilai hampir RM400,000 menerusi serbuan di dua lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah Dua ACP Muhd Zailani Abdullah berkata serbuan yang bermula pukul 4.30 petang itu dilakukan hasil pemantauan Unit Risikan.

Menerusi serbuan pertama, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 48 tahun yang menaiki sebuah kenderaan jenis Hyundai di Jalan Ibrahim Sultan, di sini, dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

Menurutnya, hasil penahanan dan soal siasat terhadap suspek telah membawa kepada penemuan minuman keras berkenaan di sebuah premis di Jalan Kemuning, Taman Melodies.

“Unit Risikan telah membuat pemantauan terhadap aktiviti penyeludupan minuman keras itu yang dipercayai diambil dari Stulang Laut dan kemudian dibawa dengan kenderaan ke tempat simpanan sementara iaitu premis-premis yang ditetapkan sebelum diedar kepada pasaran,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Bernama melaporkan Muhd Zailani sebagai berkata, pihaknya masih menyiasat sekiranya minuman keras itu diseludup dari negara jiran.

Katanya, kenderaan terbabit turut dirampas dan menjadikan keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM441,789 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Muhd Zailani berkata pihaknya akan sentiasa meningkatkan operasi dan memperketatkan pengawalan perairan negara daripada dibolosi sindiket penyeludupan yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Justeru, operasi bersepadu dengan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai polis pesisir pantai akan ditingkatkan lagi bagi membanteras sebarang sindiket, kita juga akan tegas dalam tangani isu penyeludupan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes seumpama itu diminta untuk menghubungi segera PPM Wilayah Dua di talian 07-2372221.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top