51,459 UNIT HARTANAH TAK TERJUAL DI JOHOR

51,459 UNIT HARTANAH TAK TERJUAL DI JOHOR

ISKANDAR PUTERI, 12 SEPT : Negeri Johor memiliki jumlah hartanah tak terjual tertinggi di seluruh negara membabitkan 51,459 unit bagi suku pertama tahun ini kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, jumlah unit tersebut bernilai RM36.754 bilion menurut data yang diperoleh daripada Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Hartanah yang paling tinggi tidak terjual adalah hartanah Small Office Home Office (SOHO) dan Pangsapuri Perkhidmatan mewakili 58.55 peratus atau RM20.783 bilion.

“Manakala, hartanah kediaman mewakili 33.93 peratus atau RM10.95 bilion,” katanya.

Dzulkefly (PH-Kota Iskandar) berkata demikian menjawab soalan Cheo Yee How (PH-Perling) tentang langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi rumah tidak terjual di Johor pada persidangan DUN ke-14 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara faktor utama menyumbang kepada isu hartanah kediaman tidak terjual di Johor kerana harga rumah yang tinggi.

“Ini termasuklah harga lot bumiputera. Keduanya, kesukaran atau kegagalan pemohon untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada pihak bank,” katanya.

Berikutan itu, katanya, beberapa langkah diambil kerajaan untuk mengatasi atau mengurangkan jumlah rumah tidak terjual.

“Ia termasuklah kerjasama dengan Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan (REDHA) atau pihak pemaju perumahan sendiri untuk mengadakan Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

“HOC diadakan pada 26 April 2019 di KSL Mall, Johor Bahru dan kebiasaannya dalam HOC, diskaun harga akan diberikan termasuklah pengecualian duti setem dan kos guaman dan sebagainya,” katanya lagi.

Turut diadakan jualan secara terus atau langsung lot-lot Bumiputera dan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) kepada pemohon yang berminat dan berkelayakan.

“Ini menerusi kaunter-kaunter yang dibuka oleh pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Bahagian Perumahan dalam HOC dan pameran hartanah yang diadakan,” katanya lagi.

Johorkini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )