BM | EN | 中文

51 individu ditahan di sebuah pusat hiburan haram di Senai

PDRM-polis-tangkapan-jenayah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 17 MEI: Polis menahan 51 individu di sebuah pusat hiburan haram di Jalan Cyber 16, Kawasan Perindustrian Senai Fasa 3 di Kulai awal pagi semalam untuk disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), kesalahan imigresen, dan sebagainya.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata daripada jumlah itu 47 merupakan warga asing melibatkan lapan wanita dan 29 lelaki warga Indonesia, lima lelaki warga India, dua lelaki warga Pakistan, dua lelaki warga Myanmar dan satu lelaki warga Bangladesh, manakala empat lagi adalah lelaki tempatan.

Katanya kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 46 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 1.00 pagi, dan turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga pusat hiburan itu.

Advertisement

‘Mereka ditahan selepas aktiviti pusat hiburan yang dipercayai tidak berlesen itu berjaya dikesan menerusi lampu kelip-kelip dan muzik kuat yang dipasang. Ketika serbuan, mereka didapati sedang minum minuman keras serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal,’ katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata turut dirampas dalam serbuan itu termasuk sebuah televisyen, modem, pro mixer, speaker, dua set mikrofon serta sebuah buku catatan, dan sehubungan itu kesemua individu terbabit direman selama empat hari bermula hari ini.

Menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor, Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen dan Peraturan (10) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021).

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top