BM | EN | 中文

509 penagih dadah berulang di Johor disabitkan Seksyen 39C sejak Jan lepas

Dato-Ayob-Khan-Mydin-Pitchay-ketua-polis-johor.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 29 SEPT: Seramai 509 penagih dadah tegar atau berulang di negeri ini disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, sejak Januari lepas hingga kini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sentiasa memberikan penekanan dalam membanteras penagih dadah tegar, khususnya sejak April lepas.

“Sebelum ini, sekitar Januari dan Februari lepas, jumlah penagih berulang yang kita (polis Johor) tangkap amat sedikit iaitu antara 10 dan 15 (individu) sahaja tetapi mulai April lepas, kita beri penekanan terhadap tangkapan terhadap penagih berulang, di bawah Seksyen 39C ini,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Program Rintis Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah Substan Dan Pelencongan Sosial, anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan kerjasama 17 jabatan dan agensi negeri ini, di sini, petang semalam.

Ayob Khan berkata Seksyen 39C berkenaan merupakan ‘senjata’ paling efektif dalam memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan penagih tegar, yang dalam masa sama menunjukkan kesan baik terhadap pengurangan kadar jenayah di negeri ini.

“Mereka ini (penagih dadah berulang) jika disabit kesalahan, ia membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tiga sebatan.

Advertisement

“Memang nampak kesannya (penggunaan Seksyen 39C), bukan sahaja terhadap isu penagihan dadah tetapi penurunan kes jenayah, kerana memang ada kaitan kebanyakan kes jenayah seperti ragut, samun dan rompak ini banyak melibatkan penagih dadah. Jadi, lima tahun penjara ini dilihat dapat mengekang mereka untuk terlibat semula dalam dadah,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top