4G WARISAN ANEKA SOTO & SUP ALA KAMPUNG TAMPIL LEBIH 10 JENIS SUP
Mohd Fauzi bersama salah seorang anaknya yang membantu di kedai

4G WARISAN ANEKA SOTO & SUP ALA KAMPUNG TAMPIL LEBIH 10 JENIS SUP

 

Sebut sahaja 4G Warisan Aneka Soto & Sup Ala Kampung di Ulu Pulai dekat Pontian sudah pasti tidak asing bagi penduduk daerah itu dan juga Johor Bahru.

Manakan tidak, lebih 10 aneka sup ditampilkan pemiliknya untuk memenuhi selera pelanggan.

Antaranya sup ayam, sup babat, sup paru, sup ekor, sup gearbox dan pelbagai lagi yang sudah pastinya membuka selera pengunjung.

Mohd Fauzi Kandal, 56 pemilik 4G Warisan Aneka Soto & Sup Ala Kampung berkata, perniagaan itu telah diusahakan sejak setahun lalu di tapak Koperasi Ulu Pulai Lestari, Pontian Berhad.

Katanya, dia mula menjual soto dan aneka sup selepas tidak boleh bekerja kerana perlu menjalani rawatan dialisis.

“Sebelum ini, saya buka perusahaan pengangkutan selama 10 tahun dan selepas itu bawa teksi. Kemudian saya terpaksa jalani dialisis jadi tidak boleh bekerja.

“Bila bosan di rumah saya pun cadang pada isteri hendak jual soto dan sup. Kini, peniagaan ini dibantu anak-anak kami saya hanya pantau sahaja.

“Semua pekerja ada lima orang termasuklah empat orang anak, seorang lagi pembantu untuk kerja mencuci,”katanya kepada JohorKini.

Mohd Fauzi berkata, resepi sup diperolehi dari ibu angkatnya namun kini diolah untuk menjadikan ia lebih istimewa.

Katanya, resepi itu diperolehi ketika dia membantu ibu angkatnya berniaga setiap kali hujung minggu ketika zaman sekolahnya.

Antara aneka sup yang ditawarkan

“Saya pernah menjual soto dan sup ini kejap pada tahun 80-an. Saya jual di Gelang Patah. Lepas buat kerja-kerja pengangkutan saya berhenti menjual.

“Ada pelanggan lama yang datang cari di kedai saya. Alhamdulillah sekarang ini ada juga pelanggan dari Melaka dan kawasan berhampiran datang ke kedai semata-mata nak makan sup di sini,”katanya lagi.

Menurutnya, kedainya mula beroperasi bermula jam 12 tengahari sehingga 10 malam dan tutup pada hari Selasa.

Dia juga bersyukur diatas sambutan diterima dari pelanggannya terutamanya pada waktu hujung minggu dan cuti sekolah.

“Ramai datang ke kedai kami bukan sahaja hendak merasai keenakan sup dan soto kami tapi ramai juga yang bertanya kenapa pilih nama ‘4G’.

“‘4G’ itu adalah singkatan untuk nama saya Fauzi. Nak letak nama saya panjang sangat jadi dipendekkan. Ia secara tidak langsung jadi tarikan untuk menarik pelanggan ke kedai kami,” katanya lagi.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )