ISKANDAR PUTERI, 28 NOV: Sehingga November 2019, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sedang mengendalikan 48,235 kes penerima bantuan kewangan di seluruh negeri Johor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung, JKM negeri Johor telah membelanjakan RM14,903,250 bagi menampung keseluruhan bantuan.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 29,455 orang Melayu, 12,189 orang Cina, 5,342 orang India dan selebihnya dari lain-lain etnik.
“Johor Bahru mencatat penerima terbanyak dengan 10,069 penerima manakala penerima terendah dari Mersing iaitu seramai 1972 penerima.
“Jumlah penerima lelaki seluruh Johor ialah 22369 orang manakala penerima perempuan sebanyak 25866 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Terdahulu, Cai Tung (PH-Johor Jaya) menjawab soalan Datuk Zahari Sarip (BN-Buloh Kasap) mengenai jumlah penerima bantuan dari JKM mengikut pecahan kaum dan jantina.
JohorKini