BM | EN | 中文

48 notis dikeluarkan kepada peniaga di Johor – Exco

Chong_Fat_Full_Adun_Pemanis.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 24 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 48 notis terhadap peniaga di negeri ini, hasil pemantauan dan pemeriksaan bekalan barangan keperluan sejak 1 Jan lepas hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Dr Chong Fat Full berkata kesemua notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu, dikeluarkan untuk tujuan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Berdasarkan rekod, dari 1 Jan sehingga 23 Jan, sebanyak 936 premis diperiksa KPDNHEP Johor yang meliputi 817 peruncit, 97 pemborong serta 22 pengilang di seluruh daerah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Advertisement

Dr Chong berkata peniaga yang disyaki melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011.

Katanya, bagi individu mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua, denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM500,000 dan bagi kesalahan kedua didenda sehingga RM1 juta, katanya.

Advertisement

Dr Chong berkata KPDNHEP Johor mengambil maklum berkenaan aduan berkaitan kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian di pasaran sejak akhir-akhir ini berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, bermula 13 Jan hingga 4 Feb depan.

“Selain memantau kedudukan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum, pemeriksaan khas ini turut memberi tumpuan ke atas barangan keperluan asas lain seperti barang kering, barang segar, barangan sedia bungkus, minuman dan barangan keperluan lain.

“Antara contoh barangan yang diperiksa termasuk beras, roti, susu tepung, ayam segar, telur ayam, bawang, sayur-sayuran, topeng muka, cecair pembersih tangan dan barang-barang lain,” katanya.

Advertisement

Dr Chong turut menasihati peniaga agar mematuhi undang-undang khususnya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya manakala pengguna diingatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat kesihatan ketika keluar mendapatkan barangan keperluan harian.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top