BM | EN | 中文

427 unit rumah akan dibina di Taman Perbadanan Islam Pontian

PIJ-Holdings.png

Gambar Ehsan FB PIJ Holdings

Advertisement

JOHOR BAHRU, 2 MAC: Sebanyak 427 unit rumah akan dibina di kawasan seluas 14.56 hektar di Taman Perbadanan Islam (TPI) Pontian dekat sini, dengan kos guaman bagi perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli rumah itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata kediaman itu meliputi Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) jenis A sebanyak 46 unit berharga RM42,000; RMBJ jenis B (64 unit) berharga RM80,000 dan RMBJ jenis C (57 unit) berharga RM150,000.

“Turut dibina rumah teres dua tingkat sederhana sebanyak 254 unit berharga RM290,000 serta kedai kos sederhana sebanyak enam unit. Kos pembangunan TPI Pontian akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan PIJ Holdings akan bertindak sebagai agensi pelaksana serta pengurus projek.

Advertisement

“Kos guaman berkenaan ditanggung bagi membantu dan memudahkan penduduk Pontian memiliki rumah tersebut,” katanya ketika berucap melancarkan Projek TPI Pontian secara maya yang disiarkan di laman Facebook PIJ Holdings di sini semalam.

Beliau juga berkata pembangunan daerah Pontian dijangka lebih pesat apabila kerja pembinaan Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer yang menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin, Pontian siap pada Oktober tahun depan.

“Pembinaan jambatan bernilai kira-kira RM700 juta itu kini telah mencapai tahap kemajuan projek sebanyak 37 peratus. Perjalanan penduduk di Pontian ke Johor Bahru, yang memakan masa satu jam, akan dipendekkan kepada 15 minit sahaja apabila Jambatan Sungai Pulai itu siap.

Advertisement

“Pembangunan TPI Pontian amat bertepatan pada masa dan ketikanya. Daerah Pontian pastinya akan terus berkembang sebagai sebuah bandar dan secara langsung, keperluan perumahan dijangka terus meningkat,” kata Hasni yang juga Pengerusi PIJ Holdings.

TPI Pontian, dengan peruntukan sebanyak RM310 juta, merupakan yang kelima dibangunkan PIJ Holdings selepas TPI pertama di Kebun Teh di sini diikuti TPI di Jalan Datin Halimah, TPI Larkin dan TPI Stulang Baru.

Pembinaan TPI adalah penyediaan perumahan untuk kehidupan yang kondusif dengan kemudahan awam seperti surau, balai raya, ruang tadika dan taman permainan kanak-kanak.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top