BM | EN | 中文

4,001 graduan UTHM dianugerah sijil melalui konvokesyen secara maya

Universiti-Tun-Hussein-Onn-Malaysia-UTHM_Batu_Pahat.jpg
Advertisement

BATU PAHAT, 15 NOV: Seramai 4,001 graduan dianugerahkan diploma dan ijazah masing-masing pada Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah Sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim.

Perisytiharan anugerah yang dibuat secara maya pada 8 Nov itu oleh Naib Canselor Prof Datuk Dr Wahid Razzaly itu merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (117), Sarjana (252), Sarjana Muda (2831) dan Diploma (801).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Perhubungan Awam dan Media UTHM, istiadat yang hanya dihadiri pegawai kanan universiti itu juga turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ijazah Kehormat kepada Datuk Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng

Advertisement

Anugerah itu bagi menghargai jasa bakti dan kecemerlangan beliau dalam dunia perindustrian lestari, pemuliharaan tenaga dan tenaga diperbaharui serta kepimpinan dalam komuniti di peringkat negara dan antarabangsa.

“Turut menerima anugerah dalam istiadat tersebut, penerima Anugerah Sultan Ibrahim iaitu Mek Zi Chong, graduan sarjana muda dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) iaitu Amir Nurharis Abd Ghani, graduan sarjana muda dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan serta Pang Chun Khai, graduan sarjana muda dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat,” menurut kenyataan itu.

Perisytiharan yang disiarkan secara langsung di media sosial rasmi universiti itu secara simboliknya menandakan graduan UTHM telah dianugerahkan dengan sijil akademik masing-masing.

Advertisement

Sementara itu, Wahid dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian di universiti itu dan berpesan kepada graduan untuk menonjolkan keunikan kepakaran bidang sebagai nilai tambah untuk dipilih sebagai pekerja kelak.

“Graduan perlu kompeten untuk bersaing dengan menawarkan kebolehan yang pelbagai, mempunyai daya keusahawanan yang tinggi dan boleh mengadaptasi situasi semasa dengan lebih cepat bagi memastikan mereka kekal relevan pada masa hadapan.

“Oleh itu, persiapkanlah diri dengan ilmu, kepakaran dan profesionalisme serta kemahiran insaniah yang tinggi untuk menerajui pembangunan negara kita yang tercinta ini dengan penuh amanah dan bertanggungjawab,” katanya.

Advertisement

Bernama

 

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top