BM | EN | 中文

365 peniaga bazar karat Johor Bahru kesempitan, terputus modal

pasar-karat-jb.jpg

Gambar Ehsan Johor Foodie

Advertisement

JOHOR BAHRU, 6 OKT: Seramai 365 peniaga Bazar Karat Johor Bahru, kini terputus modal selepas hampir lima bulan hilang mata pencarian apabila ia ditutup sejak Ramadan lalu.

Bazar Karat Johor Bahru diarahkan ditutup beberapa minggu menjelang Aidilfitri lalu berikutan penularan wabak COVID-19 di negeri ini wal hal peniaga ketika itu sudah membeli stok jualan hari raya, menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.

Difahamkan, sesetengah stok yang dibeli dulu pula sudah rosak dan ada yang terkena banjir.

Advertisement

Peniaga terjejas, Muhd Shah Faris abdullah, 43, yang juga orang kurang upaya (OKU) berkata, hampir semua peniaga bazar berkenaan kini kesempitan wang selepas simpanan semakin susut.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga juga telah menggunakan wang simpanan yang ada bagi membeli stok barangan bagi jualan sempena Aidilfitri lalu.

“Selepas ditutup setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, Bazar Karat Johor Bahru kemudian dibenarkan dibuka sejak awal tahun ini menyebabkan ramai peniaga terjejas dapat menarik nafas lega.

Advertisement

“Namun baru mula berniaga dan peniaga membeli mendapatkan stok barangan untuk Aidilfitri, arahan penutupan dibuat seminggu menjelang hari raya menyebabkan kami ‘terduduk’ kerana sudah mengeluarkan modal yang besar.

“Penutupan bazar karat sejak hampir lima bulan menyebabkan kehidupan peniaga makin terhimpit. Saya contohnya, isteri terpaksa membantu berniaga nasi lemak di depan rumah dengan pendapatan antara RM30 hingga RM60 sehari selepas ditolak kos modal.

“Kami mengharapkan Bazar Karat Johor Bahru dapat dibuka semula berikutan Johor sudah memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 24 September lalu bagi membolehkan kami bernafas semula,” katanya, lapor Berita Harian.

Advertisement

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru, Fuad Rahmat, mengakui hampir semua peniaga bazar karat hilang mata pencarian selepas ia diarahkan ditutup sejak Ramadan lalu.

Bagaimanapun katanya, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah memberi lampu hijau bagi pembukaan bazar itu namun mahu melihat dahulu SOP yang dibentangkan persatuan.

Sehubungan itu, persatuan berkenaan akan membuat mesyuarat tergempar bersama ahlinya esok malam bagi membolehkan prosedur standard operasi (SOP) dirangka bagi pembukaan bazar itu.

Advertisement

“MBJB juga menyerahkan kepada persatuan untuk menguruskan SOP bazar karat itu berbanding ia diuruskan agensi itu sebelum ini.

“Kita jangkakan pembukaan bazar karat dapat dilakukan menjelang akhir bulan ini selepas persediaan rapi dibuat.

“Kami juga memohon bantuan kerajaan negeri membantu peniaga terjejas terutama bagi menyediakan bantuan modal atau pun bantuan lain. Sebelum ini persatuan serta ahli majlis MBJB ada memberi bantuan termasuk bakul makanan dan bantuan sekali beri kepada peniaga terjejas yang kehilangan mata pencarian,” katanya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top