BM | EN | 中文

3,468 individu terlibat PKPD Redong 1 di Segamat

redong-1-segamat.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 28 MEI: Seramai 3,468 individu terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Redong 1 Mukim Labis dekat Segamat yang berkuat kuasa selama dua minggu bermula hari ini.

Pegawai Daerah Segamat Nasri Md All berkata secara keseluruhan terdapat 825 keluarga serta tiga asrama pekerja asing yang melibatkan 35 individu dalam kawasan PKPD itu.

Beliau berkata setakat 10 pagi tadi, serannai 657 individu telah disaring melibatkan Kluster Redong 1 dan 98 daripadanya positif COVID-19, manakala 283 negatif dan 276 masih menunggu keputusan.

Advertisement

“Usaha bagi melakukan ujian dan pengesanan kontak masih giat dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Segamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat berkata pengurusan di dalam kawasan PKPD itu diambil alih pihaknya dan bilik gerakan turut diaktifkan bermula semalam yang berpusat di Dewan Serbaguna, Tenang Stesen.

“Bilik gerakan ini akan bertindak menyelaras pengurusan PKPD dengan diketuai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat,” katanya.

Advertisement

Nasri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai hal berkaitan keselamatan dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala agihan sumbangan, bantuan dan bekalan makanan pula diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam melalui bilik gerakan itu.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Felda Redong 1 dilakukan selepas kes COVID-19 didapati menular ke seluruh lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan masih tinggi.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top