BM | EN | 中文

34 INDIVIDU TERLIBAT AKTIVITI KEGANASAN DITAHAN DI JOHOR ANTARA 2015-2018

Datuk-Mohd-Kamarudin-Md-Din.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 OGOS: Polis Johor menahan seramai 34 individu pada tahun 2015 sehingga 2018 kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan, kata Ketua Polis Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Beliau berkata mereka yang ditahan adalah penduduk tempatan dan warga asing namun tidak ada seorang pun merupakan penjawat awam.

“Berdasarkan kepada maklumat yang ada pada saya, ia (penahanan) lebih kepada idealisme, kefahaman yang begitu fanatik terhadap sesuatu perkara sama ada terhadap pemimpin atau sesuatu fahaman.

Advertisement

“Namun dengan keupayaan yang dimiliki terutamanya dari Cawangan Khas, ancaman-ancaman ini dapat kita kawal dan mereka yang terlibat pun dapat ditangkap sebelum melaksanakan agenda yang dirancang,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor semalam, dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor daripada beliau kepada Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu Datuk Shafie Ismail.

Menurut Mohd Kamarudin, bagi memastikan aktiviti keganasan ini terus dapat dikekang, pihaknya akan memantau keadaan dari masa ke semasa dan mendapatkan risikan-risikan yang perlu dari pelbagai pihak.

Advertisement

Terdahulu dalam ucapan beliau, Mohd Kamarudin turut mengingatkan warga polis Kontinjen Johor agar tidak sesekali terpengaruh dengan fahaman atau ajaran berbentuk radikal ini.

Ini kerana di Johor katanya sudah terdapat penularan ajaran sesat seperti ajaran Syiah dan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi, bantahan, diskusi umum, seminar, pengedaran risalah, konvoi, korban dan sambutan hari asyura.

“Pengikut ajaran sesat menolak sistem demokrasi berpelembagaan dan ajaran Sunnah Al Jamaah, sehingga dilihat mampu menjadi pencetus kepada pemikiran ekstrem pemimpin serta pengikut dan seterusnya mendorong kepada tindakan ganas,” katanya.

Advertisement

Berhubung isu lain, Mohd Kamarudin berkata pihaknya akan memastikan bahawa indeks kadar jenayah di negeri ini terus menurun, lebih lagi tahun depan merupakan Tahun Melawat Johor dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) diadakan.

“Kita jangkakan jutaan orang akan mengunjungi negeri Johor dan untuk itu, aspek keselamatan adalah penting bagi memastikan mereka yang mengunjungi Johor berasa selamat sepanjang keberadaan di sini.

“Dalam masa sama, kita akan dapatkan bantuan daripada luar (polis negeri lain) untuk melancarkan penganjuran SUKMA kerana ia melibatkan penggunaan anggota trafik bagi melicinkan perjalanan lalu lintas daripada perkampungan-perkampungan khas atau venue-venue sukan yang akan ditentukan oleh pihak penganjur,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top