BM | EN | 中文

32 notis dikeluarkan kepada peniaga kelengkapan elektronik di Johor – KPDNHEP

Kementerian_Perdagangan_Dalam_Negeri_dan_Hal_Ehwal_Pengguna-kpdnhep.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 32 notis terhadap peniaga di negeri ini, hasil pemantauan dan pemeriksaan di premis yang menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi sejak 25 Jan lepas sehingga semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor Mohd Hairul Anuar Bohro berkata kesemua notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu, dikeluarkan untuk tujuan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

Beliau berkata permintaan terhadap penggunaan alat telekomunikasi seperti telefon pintar dan komputer riba terutama pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) tinggi susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Operasi Catut 8.0 di seluruh Johor bermula dari 25 Januari hingga 8 Februari bagi memantau dan memastikan premis menjual barangan kelengkapan elektronik seperti komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peniaga yang disyaki melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011.

Katanya, bagi individu mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua, denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Advertisement

Bagi syarikat, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM500,000 dan bagi kesalahan kedua didenda sehingga RM1 juta, katanya.

Bernama

 

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top