KUALA LUMPUR, 5 FEB: Seramai 32 ahli parlimen (MP) pembangkang menggesa kerajaan menyalurkan peruntukan sebagaimana diterima ahli parlimen penyokong kerajaan.
Dalam satu kenyataan semalam, ahli-ahli parlimen itu berkata, peruntukan itu bagi membolehkan mereka menyalur dan mengusahakan bantuan kepada penduduk di kawasan masing-masing yang terbeban akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Gesaan itu dibuat 32 MP pembangkang iaitu Darell Leiking (Penampang), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut), Baru Bian (Selangau), Datuk Rozman Isli (Labuan), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Khalid Samad (Shah Alam).
Manakala tujuh ahli parlimen dari Johor yang turut menandatangani sokongan itu termasuk Syed Saddiq (Muar), Yeo Bee Yin (Bakri), Salahuddin Ayub (Pulai), Teo Nie Ching (Kulai), Wong Shu Qi (Kluang), Steven Choong (Tebrau) dan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam)
Selain itu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Raub), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Teresa Kok (Seputeh), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Kasthuriraani Patto (Batu Kawan), P. Prabakaran (Batu), M. Kulasegaran (Ipoh Barat)
Chong Chieng Jen (Stampin), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Chan Ming Kai (Alor Setar), Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), Thomas Su (Kampar), Alice Lau (Lanang) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru)
Menurut kenyataan itu, ketika negara sedang melawan Covid-19 dalam situasi yang luar biasa, kerajaan PN dituntut untuk mengambil tindakan yang luar biasa juga.
“Ini termasuklah dengan memberikan peruntukan kepada semua ahli parlimen Pembangkang sebagaimana diterima ahli parlimen kerajaan.
“Peruntukan ini akan membantu ahli parlimen pembangkang menyalurkan dan mengusahakan bantuan kepada penduduk yang terbeban akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
“Rakyat dan para pengundi kawasan parlimen pembangkang tidak sepatutnya menjadi mangsa atas keputusan dan hak demokratik mereka,” tambah kenyataan itu.
Tambahnya, kerajaan PN di peringkat persekutuan perlu mencontohi kerajaan negeri Johor dan Perak dengan memberikan peruntukan kepada setiap seorang Ahli Dewan Negeri (ADUN) termasuk parti pembangkang.
“Sekurang-kurangnya Menteri Besar Johor melihat pihak pembangkang sebagai rakan strategik mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika berdepan dengan krisis seperti ini.
“Pemberian peruntukan kepada ADUN pembangkang juga sudah lama dilakukan di Selangor dan Pulau Pinang,” kata kenyataan itu.
Kerajaan juga digesa menggunakan pendekatan melibatkan ‘keseluruhan dan masyarakat’ dalam mengendalikan krisis Covid-19 yang semakin buruk pada hari ini.
“Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan sumber untuk melawan pandemik Covid-19 secara bersama dengan segera menyalurkan peruntukan kepada semua termasuklah kepada ahli parlimen pembangkang,” katanya.
Johorkini