KULAI, 10 JAN: Sebanyak 311 unit rumah diserahkan kepada 163 generasi baharu dari FELDA Sg. Sibol dan 148 generasi baharu dari FELDA Penggeli Timur di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Generasi Baharu FELDA (PGBF) di FELDA Sg. Sibol, pagi tadi.
Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, projek PGBF Sg.Sibol merupakan antara 20 tapak projek PGBF yang diberi nafas baharu akibat terbengkalai di bawah kerajaan lama.
“Projek ini dihidupkan semula dengan dana sebanyak RM250 juta menerusi pengumuman Kertas Putih FELDA untuk menyiapkan 4794 unit PGBF.
“Dalam tempoh 9 bulan sehingga Januari 2020, 2058 unit rumah telah disiapkan mewakili 43 peratus dari sasaran,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PGBF Sg. Sibol.
Penyerahan kunci rumah di FELDA Sg. Sibol menjadikan jumlah keseluruhan 1381 unit rumah telah diserahkan kepada generasi baharu FELDA yang layak.
Pengerusi Badan Bertindak PGBF Sg.Sibol, Mohd Idrus Abdul Rahman berkata, penyerahan kunci ini membuka peluang kepada generasi FELDA untuk mempunyai kediaman sendiri.
“Saat ini (penyerahan kunci rumah) sangat ditunggu-tunggu oleh generasi baharu FELDA, semestinya kami amat bersyukur dan gembira,” ujarnya.
Johorkini