BATU PAHAT, 13 JUN: Sebanyak 300 bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 oleh Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan.
Aminolhuda ketika dihubungi berkata bantuan itu telah menjadi kelaziman beliau bertujuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung.
“Memang kita sudah bersedia untuk mengadakan program seperti ini. Antara sumbangan yang disampaikan adalah barangan keperluan harian.
“Akibat dari kekangan PKP ini, pihak Pusat Khidmat Rakyat Dun Parit Yaani (PKRDPY) telah mengagihkan kepada wakil penduduk atau ketua masyarakat untuk diagihkan secara bersasar kepada penerima
“Terdapat golongan bukan sahaja B40 tetapi M40 yang terpaksa bergantung kepada usaha perniagaan lecil dan sederhana," ujarnya.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor itu berkata data yang diperolehi hasil pemantauan dan laporan pihak yang memerlukan bantuan di Dun Parit Yaani.
Tambahnya lagi, mereka yang tergolong dalam B40 telah lama dibantu melalui program-program yang diadakan.
“Sekiranya tidak ada PKP, memang pihak kami mengadakan program seperti ‘Rice 4U’ untuk membantu golongan seperti B40 di Dun ini.
“Kita akan berusaha sehabis mungkin untuk membantu golongan yang terjejas di sini dan sememangnya itulah usaha kami selama ini.
“Kita telah menyusun pelbagai program bantuan untuk mengandakan usaha membantu golongan yang terjejas di sini," ujarnya lagi.
Tambah Aminolhuda, untuk jelajah pusingan pertama sebanyak 300 set barangan keperluan telah disediakan pihaknya untuk diagihkan ke kampung-kampung yang berada di sekitar Dun Parit Yaani.
Johorkini