BM | EN | 中文

30 keluarga di flat di Taman Desa Kempas bergantung generator demi bekalan elektrik

flat-Taman-Desa-Kempas-generator-elektrik.jpeg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 9 APR: Kehidupan harian 30 keluarga yang tinggal di sebuah flat di Taman Desa Kempas, di sini, jauh lebih mundur daripada mereka yang tinggal di kampung kerana terpaksa menggunakan mesin generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Itulah dilema yang terpaksa dilalui mereka yang tinggal di flat terbengkalai itu sejak tiga tahun lalu ekoran tiada pilihan untuk berteduh setelah projek perumahan terbabit masih belum nampak tanda-tanda siap meskipun sudah berlarutan lebih 20 tahun tanpa Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

Menurut seorang penghuni, S. V. Letchumi, 45, dia bersama suami, P. Ananthan, 49, bersama dua anak mereka berusia 8 dan 11 tahun mula menduduki rumah yang dibeli sejak 22 tahun lalu pada 2018 apabila melihat terdapat keluarga lain mula tinggal di situ.

Advertisement

“Pada awalnya, kami duduk di sini menggunakan tenaga elektrik melalui pemasangan haram yang terpaksa dibuat dari punca kuasa berhampiran, tetapi pemasangan itu telah dipotong oleh pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) selepas mendapat tahu ia tanpa kelulusan.

“Pada pertengahan 2019, kami semua terpaksa menggunakan generator untuk membekalkan tenaga elektrik bagi kegunaan untuk lampu dan kipas. Memandangkan tenaga yang dihasilkan terhad, saya tak dapat guna peti ais, pengisar elektrik dan televisyen dan mesin itu pula hanya digunakan pada sebelah malam sahaja,” katanya, lapor Utusan Online.

Letchumi berkata, dia juga terpaksa menguruskan anak-anaknya bersendirian dalam keadaan serba kekurangan termasuk memerlukan kudrat yang kuat untuk menghidupkan generator kerana suaminya yang bekerja sebagai pemandu kini berada di Singapura.

Advertisement

“Masalah penggunaan elektrik juga menyebabkan saya terpaksa pergi ke pasar lebih kerap setiap minggu kerana bekalan makanan seperti ikan dan ayam tidak boleh disimpan disebabkan peti ais tidak berfungsi.

“Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak dahulu pun terjejas dan keadaan tiada elektrik ini menyebabkan anak-anak sudah lali tidak menonton televisyen sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” katanya.

Bagi Shafuan Hamzah, 24, pula, dia yang tinggal bersama lima ahli keluarga yang lain termasuk seorang anak saudara perlu membelanjakan kira-kira RM1,000 setiap bulan bagi membeli minyak diesel dan minyak pelincir bagi penggunaan tiga generator di rumahnya.

Advertisement

“Kami terpaksa berjimat menggunakan generator ini, pada sebelah pagi ia digunakan untuk menghidupkan mesin basuh sahaja dan kemudian untuk lampu dan kipas pada malam. Kami tidak boleh menggunakan generator ini terlalu lama kerana ia mudah rosak dan perlu kerap di servis.

“Setiap hari kami membelanjakan kira-kira RM30 bagi minyak diesel, itu tidak termasuk menukar plug minyak pelincir yang perlu ditukar dua kali seminggu. Kalau diikutkan, kami sudah tidak larat berada dalam keadaan ini yang berlarutan hampir dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Noraini Mohd. Shah, 36, berkata, mereka sudah beberapa kali mengajukan masalah itu kepada pihak pemaju bagi mencari titik penyelesaian, namun, tidak berjaya.

Advertisement

“Kami pernah mengutuskan surat kepada pemaju untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi tiada maklum balas daripada pihak mereka, selain itu, kami juga pernah mengadu nasib kepada Ahli Parlimen Pulai dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kementerian telah memberi maklum balas menerusi surat yang meminta pihak pemaju menyelesaikan isu kami ini. Kasihanilah kami, duduk dekat bandar, tetapi, masih menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik,” katanya.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top