ISKANDAR PUTERI, 26 NOV : Seramai 30 belia dari Kelab Leo melakukan kunjungan ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor sempena Program Lawatan Demokrasi Belia Daerah Segamat, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan , Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, beliau berkesempatan menyambut dan menyantuni delegasi belia tersebut.
Menurutnya, dalam pertemuan bersama kumpulan belia berkenaan, beliau telah menekankan tentang peri penting peranan mereka sebagai pewaris dan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan kelak.
“Pendidikan formal tentang demokrasi tidak lengkap tanpa berada di lapangan untuk melihat sendiri realiti konsep demokrasi dilaksanakan.
“Lawatan ke Dun misalnya merupakan sebahagian daripada pendidikan lapangan bagi para belia memahami konsep demokrasi berparlimen yang dipraktikkan di Malaysia.
“Malah, saya juga memperjelas bahawa demokrasi itu adalah milik rakyat dan melangkaui batas politik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, pada kesempatan itu beliau turut memaklumkan bahawa aktiviti pendidikan demokrasi sedemikian merupakan aktiviti murni yang perlu diaktifkan di peringkat akar umbi terutama sekali golongan belia.
Katanya, ini kerana suara belia pada hari ini telah diiktiraf melalui langkah penurunan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun oleh Kerajaan Persekutuan.
“Justeru itu, saya mengajak lebih ramai kumpulan belia terutama yang masih dibangku sekolah untuk memanfaatkan ruang dan peluang melalui Dewan Negeri Johor bagi mengenali dan memahami konsep demokrasi berparlimen.
“Jadilah masyarakat yang aktif terlibat dalam memperkukuh kerangka dan wacana demokrasi,” katanya lagi.
JohorKini