JOHOR BAHRU, 1 JAN : Sebanyak 29,000 iklan Ah Long telah diturunkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), sehingga November, tahun lalu.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, manakala bagi iklan bunting pula, sebanyak 2,403 iklan telah diturunkan, selain 987 iklan sepanduk dan 10,564 iklan pelbagai diturunkan pada tempoh yang sama.
“MBJB juga telah menjalankan aktiviti penundaan atau pengalihan kenderaan ke atas 6,292 buah kenderaan termasuk 836 buah kenderaan terbiar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat penuh Bilangan-12 tahun 2019, yang diadakan di Dewan Inai Merah, di sini, semalam (30 Disember).
Adib Azhari berkata, pihaknya juga telah mengambil tindakan ke atas 140 buah premis perniagaan tanpa lesen selain daripada 252 tindakan sitaan yang telah dijalankan terhadap penjaja warga asing.
“Di samping itu, sebanyak 90 operasi penguatkuasaan bersepadu juga telah diajalankan di sekitar kawasan MBJB bersama-sama dengan agensi kerajaan.
“Ini termasuklah kerjasama bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti
Dadah Kebangsaan (AADK) AADK, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP serta lain-lain agensi kerajaan,” katanya.
Johorkini