JOHOR BAHRU, 14 DIS: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 2,640 orang, di enam buah daerah di negeri ini melibatkan 703 keluarga.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, setakat jam 6 petang tadi enam buah daerah yang terlibat selain Mersing, dan Kota Tinggi adalah Kulai, Segamat, Kluang dan Muar.
Sebanyak 42 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan daerah Kluang mencatatkan PPS terbanyak iaitu 18 buah melibatan 679 orang dari 187 keluarga.
PPS yang dibuka di Kluang ialah di SJK (C) Ping Ming, Parit Hassan, Balai Raya Kg Contoh, Balai Raya Kg Bentong Dalam, Balai Aktiviti Kg Melayu Mardi, SK Kahang Batu 28, SMK Seri Perdana Jalan Nyior Baru, Balai Raya Kg Muhibbah Paloh, Balai Raya Kampung Chokro, Sekolah Agama Kg Tengah, Dewan Kolam Air, Balai Raya Parit Haji Hashim, Balai Raya Kg SC Jaya Sepakat, SK Sri Lukut, Sekolah Agama Layang-Layang, SK Simpang Renggam, Balai Raya Kg Melayu Batu 4 Paloh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kencana.
Bagi daerah Mersing, lapan PPS dibuka iaitu di SK Tenglu, SK Mersing Kanan, SK Air Papan, SK Bandar Endau, PPK Endau, Kompleks Taman Negara Endau Rompin dan SK Labong.
Di Kota Tinggi sebanyak 12 PPS dibuka iaitu di SK Sedili Besar, Dewan Kg Baru Sg Mas, SK Sedili Kecil, Surau Kg Singapura, SK Mawai, SK Gembut, Dewan Raya Sri Mahkota dan SK Teluk Ramunia Kg Changi Pengerang.
Dua PPS dibuka di Segamat iaitu di SRJK (C) Ai Chun dan Dewan Serbaguna Kg Pekan Air Panas.
Sebuah PPS dibuka di Kulai iaitu di Surau Sungai Siam, Layang-Layang manakala di Muar di Bangunan GPW, Maokil.
Sementara itu empat laluan di Kota Tinggi yang masih terputus hubungan dan tidak boleh dilalui kenderaan.
Jalan tersebut ialah Batu 18, Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Kelompok, Ladang Bukit Payung (Tenggaroh) dan Jalan Kampung Mawai Lama.
Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi.
Amaran cuaca buruk (jingga) pula bagi daerah Segamat, Muar, Batu Pahat, Kulai, Kluang, Pontian dan Johor Bahru.
Johorkini