BM | EN | 中文

250 orang murid teruja terima bantuan kembali ke sekolah

sumbangan-sekolah.jpg

Mohd Khuzzan (belakang, lima, kiri) bergambar bersama beberapa orang penerima pada program Semarak Seni Budaya Jom Kembali Ke Sekolah 2020 DUN Semerah, di sini. Turut hadir ADUN Penggaram Gan Peck Cheng (belakang, enam,i kiri)

Advertisement

BATU PAHAT, 25 DIS: Keceriaan jelas tergambar pada raut wajah 250 pelajar apabila diberi peluang untuk memilih barang keperluan sekolah pada program Semarak Seni Budaya Jom Kembali Ke Sekolah 2020 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di Batu Pahat Mall, di sini.

Lebih memeriahkan lagi, murid-murid yang kurang berkemampuan itu turut membawa keluarga dan adik-beradik mereka untuk memilih pakaian dan kasut sekolah dengan menggunakan sumbangan baucar bernilai RM150 seorang untuk setiap seorang.

Seorang tukang cuci, Sapurah Muhamad, 44, berkata sumbangan tersebut telah membantu untuk meringankan bebannya kerana kedua-dua anak kembarnya yang berumur 10 tahun menerima sumbangan tersebut.

Advertisement

“Selalunya saya akan membelanjakan lebih kurang RM400 untuk membeli barang persediaan sekolah untuk anak kembar saya ini.

“Sejak suami saya disahkan menghidapi penyakit bengkak prostat empat tahun yang lalu, saya harus berkerja keras kerana suami saya tidak mampu untuk bekerja akibat keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan,” kata ibu kepada lima orang anak itu ketika ditemui Johorkini, di sini.

Manakala bagi seorang suri rumah Norhaila Khamis, 38, dia sempat mengucapkan terima kasih kerana terharu nasib keluarganya yang kurang berkemampuan diberikan perhatian.

Advertisement

“Ini merupakan kali pertama anak saya, Mohd Afiq Hairudin, 10, menerima bantuan dan saya amat bersyukur kerana sumbangan ini boleh meringankan beban saya dan suami saya yang bekerja sebagai tukang kebun,” katanya.

Anak lelaki Norhaila merupakan salah seorang daripada 250 orang murid yang menerima sumbangan tersebut pada program itu, dimana bantuan disampaikan oleh ADUN Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, penerima pada program hari ini merupakan mereka yang terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan diharap program sedemikian dapat membantu mereka untuk bersiap sedia bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Advertisement

“Selepas ini, seramai 200 orang lagi murid dari kampung-kampung di Dun Semerah akan menerima bantuan sedemikian, khususnya mereka yang belum pernah menerima bantuan sebelum ini,” katanya yang juga merupakan Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top