BM | EN | 中文

25 pendatang asing diberkas di Kota Tinggi

25-pendatang-asing-diberkas-di-Kota-Tinggi.jpg

Gambar Ehsan FB ATM

Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 OKT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 25 pendatang tanpa izin dipercayai warga Indonesia kerana cuba menyeludup keluar dari negara ini untuk pulang ke negara asal di Pantai Pasir Logok dekat Kota Tinggi, awal pagi semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, pergerakan kesemua warga asing terdiri daripada 22 lelaki dan tiga wanita yang berusia antara 19 sehingga 53 tahun itu dikesan oleh petugas Pos Pemerhati pada pukul 1.40 pagi.

“Hasil daripada maklumat tersebut, Pasukan Quick Reaction Force (QRF) telah melaksanakan serbuan dan berjaya menahan kesemua individu terbabit yang ketika itu sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal,” katanya.

Advertisement

Kenyataan itu memaklumkan, lima lagi pendatang asing lelaki yang juga berusia antara 19 sehingga 53 tahun, turut ditahan pada pukul 9 pagi tadi di lokasi sama kerana cuba menyeludup masuk ke negara ini.

“Lima lelaki itu ditahan sekitar kawasan tersebut kerana dipercayai baru sahaja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 40 telefon bimbit dan barang kemas turut dirampas dalam serbuan berkenaan, berserta wang tunai sebanyak RM15,713 dan mata wang Indonesia yang dianggarkan bernilai RM5,958.

Advertisement

Kesemua warga asing itu dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, di sini untuk tindakan lanjut.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia akan terus menggerakkan Pasukan QRF dan Pasukan Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan bagi menjejaki saki baki pendatang tanpa izin yang berkemungkinan masih ada di lokasi terbabit dengan bantuan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top