BM | EN | 中文

24 warga China ditahan terlibat penipuan atas talian

DSC_7344-scaled.jpg

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Polis menahan seramai 24 orang warganegara China disyaki terlibat dalam aktiviti pelaburan forex secara atas talian dalam satu serbuan yang dijalankan di Iskandar Puteri, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan pada jam 4.30 petang itu dibuat ke atas tiga unit kondominium di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai merupakan penyelia kepada aktiviti berkenaan.

“Suspek warganegara China yang terdiri daripada 19 lelaki dan lima perempuan itu dipercayai memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan dengan menjanjikan pulangan lumayan.

“Kesemua 24 warganegara China kini dikenakan reman selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan, manakala suspek lelaki tempatan dikenakan reman selama tiga hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan turut memberitahu, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan tersebut.

“Antara yang dirampas termasuklah 14 unit komputer riba, empat unit komputer, 84 unit telefon bimbit dan enam unit modem,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top