23 KAMPUNG DI TANJUNG PIAI TERIMA GERAN MPKK
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun (bertudung merah) bergambar kenangan bersama wakil-wakil MPKK Tanjung Piai

23 KAMPUNG DI TANJUNG PIAI TERIMA GERAN MPKK

PONTIAN, 15 OKT: Sebanyak 23 geran dengan jumlah keseluruhan RM230,000 diserahkan kepada 23 wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan parlimen Tanjung Piai untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Penyerahan geran dilakukan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam satu majlis bersama ketua-ketua MPKK Parlimen Tanjung Piai, di Kukup Golf Resort, di sini hari ini.

Kata Rina, geran tersebut memberikan fokus kepada tiga skop iaitu bagi program peningkatan ekonomi, keceriaan dan kesejahteraan kampung.

“Contohnya seperti karnival atau ekspo jualan produk kampung, kursus seperti perniagaan dalam talian atau kemahiran pertanian, masakan, pemasaran dan sebagainya.

“Yang kedua, skop geran ini bertujuan untuk keceriaan kampung, sebagai contoh pembinaan mercu tanda dan rekaan landskap yang menarik dan kreatif sebagai satu tarikan dan menonjolkan keunikan kampung.

“Seterusnya adalah bagi tujuan kesejahteraan kampung. Sebagai contoh, penganjuran karnival sukan, hari kesihatan atau mengadakan sesi perkongsian mengenai keselamatan kampung bersama pihak berkuasa,” kata Rina.

Tambah beliau, sebanyak 449 permohonan geran MPKK di seluruh negeri Johor telah diluluskan, manakala sebanyak 23 daripada 45 MPKK di kawasan Parlimen Tanjung Piai telah diluluskan.

Kata Rina, geran tersebut tujuan akhir bagi usaha menjayakan aktiviti masyarakat setempat, sebaliknya kerjasama, kesepakatan, masa dan tenaga yang diluangkan penduduk kampung melebihi nilai geran itu sendiri.

“Di samping dapat melaksanakan program yang bermanfaat kepada kampung, pemupukan nilai- nilai murni sesama penduduk kampung juga dapat disemai menerusi pemberian Geran MPKK ini.

“Ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih,” katanya lagi.

Johorkini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )