BM | EN | 中文

214 notis dikeluarkan dalam operasi khas pemandu asing sekitar Johor Bahru

JPJ-Johor-keluar-214-notis-saman-kepada-pemandu-asing.jpg

Antara kenderaan yang disita (Gambar Ehsan JPJ Johor)

JOHOR BAHRU, 14 SEPT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan sebanyak 214 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam Operasi Khas Pemandu Asing (PeWA) yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, pada 7 hingga 10 Sept lepas.

Timbalan Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan berkata, operasi berkenaan dilakukan hasil risikan selama sebulan oleh 31 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa.

Katanya notis kesalahan yang dikeluarkan adalah terdiri daripada 152 saman atas kesalahan tiada lesen memandu, tiada lesen vokasional, lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran, selain enam notis bagi larangan penggunaan kenderaan, lima notis arah periksa dan 51 notis penyitaan kenderaan.

“Risikan selama sebulan yang kita lakukan mendapati, kebanyakan warga asing ini memandu tanpa lesen yang sah, termasuk mengubahsuai motosikal menjadi tiga roda bagi mengutip dan membawa barangan lusuh. Selain itu, terdapat juga yang bawa kenderaan perkhidmatan untuk membawa barangan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata dalam operasi itu juga seramai 62 lelaki warga asing berusia antara 20 dan 45 tahun terdiri daripada 35 orang warga Myanmar, Pakistan (19) , Bangladesh (5) dan India (3) diperiksa dan diambil keterangan.

Katanya hasil siasatan mendapati terdapat kenderaan yang dipandu warga asing berkenaan adalah milik warga tempatan.

“Apabila kita periksa kenderaan ini, kebanyakannya ada pemilik dan pemiliknya terdiri daripada warganegara kita sendiri, yang telah membenarkan pemandu warga asing memandu kenderaan tersebut.

“Jadi kita nasihatkan kepada pemilik kenderaan jangan benarkan pemandu warga asing yang tiada lesen sah. Tindakan tegas akan diambil dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Azmil berkata JPJ Johor turut mengadakan operasi sama di sekitar negeri itu hari ini dan mengeluarkan sebanyak 37 notis yang terdiri daripada 28 saman, melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran serta sembilan notis sita kenderaan.

“Sembilan warga asing juga telah diambil tindakan terdiri daripada warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh,” katanya.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top