BM | EN | 中文

2,090 GURU KAFA TERIMA ELAUN PENUH MULAI JANUARI 2020

IMG-20191121-WA0045.jpg

 

ISKANDAR PUTERI, 21 NOV : Seramai 2,090 orang Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) akan menerima elaun penuh sebanyak RM1,412 sebulan mulai bulan Januari 2020 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.67 juta.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, selain itu pelarasan semula elaun guru Kafa akan melibatkan seramai 240 orang guru dengan elaun tambahan bulanan sebanyak RM512 seorang.

“Semoga insentif ini akan merangsang semangat dan motivasi para Guru KAFA dalam mendidik generasi akan datang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2020) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di sini hari ini.

Tambahnya, bagi menambahbaik perkhidmatan guru Tadika Agama Johor (TAJ), kerajaan negeri akan melaksanakan rasionalisasi skim guru tadika agama Johor.

Katanya, skim berkenaan akan ditambahbaik iaitu dari skim DB17 kepada Pembantu Hal Ehwal Islam gred S19.

“Skim ini akan melibatkan sebanyak 362 perjawatan yang melibatkan 304 orang penyandang dan tambahan 58 perjawatan baharu.

“Implikasi kewangan bagi skim ini pada tahun 2020 dianggarkan sebanyak RM9.2 juta berbanding RM5.77 juta pada tahun 2019, dengan peningkatan sebanyak RM3.43 juta,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top