BM | EN | 中文

200,000 rakyat Johor di Singapura layak mengundi secara pos – MB Johor

hasni-mohammad-AIM.jpg

JOHOR BAHRU, 28 FEB: : Dianggarkan hampir 200,000 rakyat negeri ini yang menetap di Singapura layak mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, angka itu diperoleh daripada rekod pendaftaran di aplikasi ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin.

Beliau berkata, daripada 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, dianggarkan hampir 200,000 adalah rakyat Johor yang layak mengundi pada PRN kali ini.

“Saya percaya kaedah undi pos pilihan terbaik buat masa ini berikutan kuota Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dilaksanakan di sempadan Malaysia-Singapura hingga kini terhad.

“Ketika Johor sudah mendapatkan tarikh mengadakan PRN, kita memohon undi pos dibenarkan kepada pekerja Malaysia yang berada di negara jiran itu susulan mereka tidak dibenarkan membuang undi di kedutaan Malaysia di Singapura.

“Oleh kerana sekatan rentas negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya membenarkan permohonan kita bagi membuat undi pos, walaupun sebelumnya ia tidak dibenarkan,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Senai di sini, hari ini.

Hasni berkata, kebenraan undi pos itu sebagai pemudah cara buat rakyat Johor di Singapura bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, seterusnya menyumbang kepada proses demokrasi terbabit.

“Saya difahamkan pihak SPR dalam proses menghantar kertas undi pos ke negara itu selepas senarai calon yang bertanding dimuktamadkan,” katanya.

SPR mengumumkan PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac dengan 8 Mac sebagai tarikh mengundi awal.

Johorkiini

Share this post

scroll to top