BM | EN | 中文

200 gelandangan di Johor Bahru dipindah ke pusat perlindungan sementara

gelandangan-johor-bahru.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 27 OGOS: Kerajaan Johor akan memindahkan seramai 200 gelandangan lelaki di sekitar bandar raya ini ke sebuah pusat perlindungan sementara di Taman Perling di sini, agar mereka lebih selamat ketika negara berusaha membendung wabak COVID-19.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Zaiton Ismail berkata usaha itu akan dilakukan dalam masa terdekat, sementara menunggu Pusat Gelandangan di Taman Larkin Perdana bernilai RM7.64 juta, slap sepenuhnya Julai tahun depan.

“Pada 15 Ogos lepas, kita telah memindahkan 23 gelandangan wanita, kini kita dalam proses memindahkan kira-kira 200 gelandangan lelaki untuk ditempatkan di kawasan lebih selamat dan bersesuaian.

Advertisement

“Sebahagian daripada gelandangan di Johor Bahru bukan penduduk tempatan sebaliknya mereka berhijrah ke sini dari negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Mohamad Hapil dan Presiden Persatuan OKU Sentral yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Zaiton berkata gelandangan yang mempunyai masalah penagihan dadah akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) manakala gelandangan yang mengalami masalah kesihatan mental akan diletakkan di bawah seliaan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Advertisement

Sementara itu, beliau berkata seramai 53,744 Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 18 tahun dan ke atas di negeri ini telah mendaftar untuk vaksinasi COVID-19, setakat 15 Ogos lepas.

Menurut beliau Johor Bahru merekodkan jumlah pendaftaran paling ramai iaitu 15,401 orang, diikuti Batu Pahat 8,065 orang dan Muar 5,619 orang.

“Kita berharap agar Iebih ramai keluarga membantu mendaftarkan anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksin supaya jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa, sekali gus golongan OKU ini tidak ketinggalan untuk mendapat vaksin,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata kerajaan negeri akan turut membantu menyediakan kemudahan pengangkutan ke PPV kepada golongan OKU yang mendapat janji temu vaksinasi menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.

Terdapat seramai 71,072 OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat direkodkan di Johor, sehingga 15 Ogos lepas.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top