BM | EN | 中文

20 tahun penduduk pangsapuri Desa Kempas hidup tanpa bekalan elektrik

Salahuddin-Ayub-terima-memorandum-Desa-Kempas-tiada-elektrik.jpg

Ahli parlimen Pulai, Salahuddin Ayub menerima memorandum dari penduduk Desa Kempas yang berdepan masalah tiada bekalan elektrik

JOHOR BAHRU, 21 OGOS: Penduduk pangsapuri Desa Kempas, Johor Bahru semalam menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi membawa isu dihadapi mereka bagi mendapatkan perhatian pihak berwajib.

Menurut wakil penduduk pangsapuri tersebut, Ee Cheng Lai, 63, mereka telah membawa isu itu hingga ke peringkat kementerian namun masalah tersebut masih lagi belum dapat diselesaikan.

Pangsapuri Desa Kempas berdepan masalah ketiadaan elektrik

Katanya, penduduk di sini terpaksa mendiami pangsapuri berkenaan walaupun belum siap sepenuhnya kerana tidak berpeluang membiayai rumah yang lain.

“Sudah 20 tahun tetapi keadaannya masih sebegini. Tidak ada sebarang proses penyiapan dilakukan.

“Mereka tidak boleh siapkan rumah. Susah sebab tidak ada elektrik. Perkara itu menekan penduduk.

“Banyak pembeli mencari rumah sewa di luar. Namun selepas itu mereka tak mampu dan terpaksa tinggal di sini. Mereka terpaksa menggunakan ‘generator’ sendiri dan air terpaksa mengharapkan tangki besar pangsapuri.

“Sampai bila pangsapuri ini mahu disiapkan? katanya.

Difahamkan, sebanyak 179 buah rumah dari sembilan blok pangsapuri dibangunkan di kawasan itu, namun hanya enam blok sahaja yang mampu disiapkan.

Dalam pada itu ahli parlimen Pulai, Salahuddin Ayub berkata, beliau kesal dengan apa yang berlaku terhadap pembeli pangsapuri berkenaan.

“Keadaan di kawasan ini sangat menyedihkan. Ada penduduk yang terpaksa bergelap kerana tidak ada elektrik. Mereka tidak ada pilihan, melainkan menetap di sini.

“Kita khuatir dengan keselamatan penduduk. Siapa yang mahu bertanggungjawab? Sememangnya menyedihkan kerana perkara ini tidak selesai walaupun telah dibawa ke peringkat kementerian.

“Ini adalah projek ‘sakit’. Adalah menjadi tanggungjawab kementerian perumahan untuk menyelesaikannya.

“Minggu depan masih ada lagi sesi parlimen. Saya akan membawa memorandum ini dan akan cuba mendapatkan temu janji dengan menteri sendiri untuk berbincang dengan beliau bagaimana kita cuba yang terbaik bagi menyelesaikan isu ini,” katanya lagi.

Difahamkan, sehingga kini terdapat 15 keluarga yang tinggal di tiga blok pangsapuri berkenaan dalam keadaan tidak sempurna.

Manakala pemilik unit lain yang menetap di luar berharap agar rumah yang dibeli disiapkan, agar mereka dapat segera berpindah ke situ.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top