BM | EN | 中文

20 kematian akibat denggi di Johor sejak Januari hingga Jun

aktiviti-semburan-jabatan-kesihatan-denggi.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 4 JUL: Kadar kematian akibat denggi di negeri ini menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan 20 kematian direkodkan berbanding 15 kematian, bagi tempoh sama, tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata mengikut perangkaan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, sebanyak 5,107 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga 27 Jun berbanding 5,142 kes, bagi tempoh sama tahun lepas.

“Berbanding kes demam denggi bagi tempoh sama tahun lepas iaitu 5,142 kes, penurunan ini (kepada 5,107 kes) tidak signifikan.

Advertisement

“Malahan terdapat peningkatan dalam kematian akibat denggi yang ketara dengan sebanyak 20 kematian dilaporkan pada 2020 berbanding 15 kematian pada tempoh sama tahun 2019,” katanya berhubung laporan situasi semasa demam denggi di negeri ini, menerusi kenyataan semalam.

Vidyananthan berkata sebanyak 34 lokaliti wabak baharu dilaporkan pada minggu epid 26 yang menjadikan jumlah wabak aktif semasa sebanyak 91 lokaliti.

Beliau berkata Johor Bahru mencatatkan daerah paling tinggi kes denggi dengan 80.2 peratus, diikuti Kulai (3.9 peratus), Kluang (3.7 peratus), Segamat (3.3 peratus), Batu Pahat (2.4 peratus), Mersing (2.1 peratus), Kota Tinggi (1.4 peratus), Muar (1.1 peratus), Pontian (0.9 peratus) serta Tangkak (0.9 peratus).

Advertisement

Katanya faktor penyumbang utama demam denggi di negeri ini adalah pengabaian aspek kebersihan persekitaran khususnya tabiat pembuangan sampah yang tidak teratur dan sempurna, sekali gus menyumbang bekas-bekas berpotensi membiak nyamuk aedes.

Sehubungan itu, Vidyananthan berkata masyarakat perlu sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekeliling rumah dan segera menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah dengan memastikan tiada tempat takungan yang boleh menjadi tempat pembiakan aedes.

“Masyarakat juga perlu turut serta dalam usaha pemusnahan aedes melalui program komuniti yang merupakan sebahagian daripada Kempen Perangi Denggi Johor. Jangan lupa, sekiranya mengalami demam, segeralah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran. Sebarang kelewatan boleh membawa maut,” katanya.

Advertisement

Vidyananthan berkata pada masa sama, Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga berharap orang ramai sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber yang boleh dipercayai sebelum menularkan sesuatu informasi berhubung denggi.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top