
Rafeeq Roslan
BATU PAHAT, 2 OGOS: Meskipun dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada sambutan hari raya Aidiladha kali ini, tidak menghalang kemeriahan program ibadah korban di kawasan DUN Parit Yaani yang diwakili Aminolhuda Hassan.
Rata-rata peserta program yang ditemui berkata, tradisi itu tetap diteruskan meskipun sedikit berbeza berikutan saranan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akibat pandemik COVID-19.
Seorang penduduk, Rafeeq Roslan, 27, yang turut sama dalam program sembelihan korban berkata acara seperti itu memang dinanti-nantikan kerana mengeratkan silaturrahim di kalangan penduduk setempat.
“Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB dan juga penyumbang yang lain kerana menyumbang korban pada tahun ini.
“YB memang prihatin kepada masyarakat di sini. Kita bertuah kerana mendapat wakil seperti beliau di kawasan ini,” ujarnya.
Menurut Ketua Kampung di Kampung Sri Bengkal, Batu Pahat, Ramlan Darmo, sumbangan Aminolhuda dialu-alukan dan ia akan dilakukan setiap tahun di kampung.
“Saya bersyukur kerana YB sentiasa prihatin terhadap orang kampung di sini. Saya amat berbesar hati semenjak beliau menjadi Adun di sini kampung ini sentiasa menjadi tumpuan beliau.
“Saya ‘respect’ YB kerana memberi perhatian penuh kepada DUN serta cakna dengan keadaan kami. YB juga tidak meletakkan sempadan di antara pemimpin dan orang awam itu sesuatu yang bagus,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan berkata, ibadah korban ini memang menjadi tradisinya semenjak beliau menjadi Adun Parit Yaani pada 2013 lagi.
“Ini tradisi kita di kawasan DUN ini. Sememangnya perkara ini berjalan lancar disebabkan mereka yang bergotong-royong adalah di kalangan orang yang dah terbiasa saban tahun menguruskan ibadah korban ini.
“Inilah kebajikan DUN kami dalam memberi sumbangan kepada penduduk. Kita mahu semua rakyat di DUN ini merasai kemeriahan walaupun pada tahun ini berlainan kerana perlu mengikut SOP yang ditetapkan.
“Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada petugas dan peserta korban yang bertungkus lumus dalam menjayakan ibadah korban kali ini,” jelasnya.
Sebanyak 18 ternakan korban disumbangkan Pusat khidmat DUN Parit Yaani yang terdiri dari 17 ekor lembu dan seekor kerbau untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar DUN berkenaan.
Beliau yang merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Johor berharap agar ibadah kali ini diterima Allah serta mendoakan kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat.
Johorkini