ISKANDAR PUTERI, 18 SEPT – Program Latihan dan Promosi (PLP) yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPDKT) berjaya menarik minat syarikat swasta.
Penganjurannya juga sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.
Antara syarikat yang terlibat adalah The Westin Desaru Resort, Old Smart Boy Resource, Chiyoda Integre Co, Conquer Marketing dan Desaru Cost.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Mohd Helmi Sha’ari, PLP merupakan kursus latihan teknikal yang membantu golongan sasaran dari segi latihan, promosi dan meningkatkan kemahiran.
“PLP bertujuan meningkatkan daya saing tenaga kerja golongan OKU serta memudahkan pencarian tenaga kerja oleh pihak industri untuk golongan itu yang berkemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Program PLP dan Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia (KABIM) di Kota Iskandar, di sini, semalam.
Tambah Mohd Helmi lagi, antara kursus yang dilaksanakan ialah ‘housekeeping’, membaiki gajet atau komputer dan ‘mobile spa’.
“Setakat hari ini, seramai 152 OKU telah berjaya di tempatkan bekerja dalam pelbagai sektor membabitkan sektor termasuklah awam, pasaraya, perhotelan, pembuatan, perkhidmatan dan lain-lain,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, selain menganjurkan kursus PLP, YPKDT juga mempunyai Unit Pembangunan Orang Kurang Upaya yang berperanan membantu golongan OKU berpotensi bekerja untuk mendapatkan pekerjaan.
Johorkini