BM | EN | 中文

1,474 cerun dijangka terjejas akibat Monsun Timur Laut

cerun-terhakis.jpeg

Gambar Hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Sebanyak 1,474 bilangan cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana hingga sangat tinggi dijangka mungkin terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun ini dan tahun depan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keseluruhan cerun berkenaan di lima negeri di Semenanjung dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun.

“Lima negeri berkenaan ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan, selain cerun berisiko itu terletak di Jalan Persekutuan kritikal seperti Jalan Persekutuan FT1, FT3, FT4, FT5, FT8, FT86, dan FT185.

Advertisement

“Jalan kritikal dikenal pasti berdasarkan beberapa kriteria iaitu jalan alternatif melebihi 50 kilometer, jalan utama, kawasan tanah tinggi, bilangan cerun berkategori ‘very high dan high hazard’ yang banyak serta laluan sering berlaku cerun runtuh,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai persediaan kementeriannya mengenal pasti jalan dan cerun berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh, pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Fadillah berkata, kementeriannya bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) di lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri.

Advertisement

Katanya, EWS akan memberi amaran awal apabila indeks hujan pada tolok hujan yang dipasang melebihi tahap amaran, selain terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh negara dengan 36 daripadanya terletak di Semenanjung.

“Tolok hujan ini dipasang di Jalan Persekutuan berpotensi berlaku cerun runtuh seperti di FT59, FT185, FT4, FT55, FT102 dan beberapa laluan kritikal lagi.

“CKC juga akan memberikan amaran awal kepada JKR daerah, berdasarkan data hujan diperoleh daripada EWS dan data pergerakan cerun yang dipasang pada cerun berisiko. JKR daerah akan melakukan rondaan selepas hujan lebat ke kawasan dikenal pasti berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.

Advertisement

“JKR akan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) apabila berlaku musim tengkujuh bagi memantau dan menyebarkan maklumat kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Fadillah berkata, kementeriannya juga memantau cerun di kawasan lebuh raya, khususnya di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan LPT Fasa 2 (LPT 2).

“Lebuhraya KLK adalah yang paling kritikal kerana terletak di kawasan berbukit dan dikelilingi cerun berisiko tinggi.

Advertisement

“Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi lebuh raya sudah mengambil beberapa langkah persediaan bagi memastikan cerun di kawasan berkenaan berada di tahap terbaik,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top