JOHOR BAHRU, 4 FEB: Seramai 147 warga China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, sehingga semalam.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekatan kepada warga dari bandar dan wilayah itu yang bermula pada 27 Januari masih berkuatkuasa dan perintah tersebut meliputi arahan ‘not to land’ (penolakan masuk).
Katanya, keputusan tersebut diambil berikutan perkembangan terkini kes jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara berkenaan.
“Perkara ini (sekatan) akan diteruskan. Ada rakyat bertanya kenapa tak sekat seratus peratus kemasukan pengunjung daripada China, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO keluarkan kenyataan ia adalah satu wabak.
“Tetapi WHO kata ia tidak meminta supaya kita sepenuhnya menghalang kemasukan pelawat daripada China. Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpandukan kepada keputusan yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Hanya apabila KKM minta kawal, maka kita akan guna kuasa Akta Imigresen untuk kenakan sekatan,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, disini hari ini.
Menurut beliau sehingga semalam, sekatan kemasukan paling tinggi dicatatkan di Pelabuhan Klang, disusuli di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang, Patah.
Muhyiddin yang juga Ahli parlimen Pagoh berkata, sebarang keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dilakukan secara bersepadu.
Namun katanya, KDN sentiasa bersiap siaga untuk bertindak dan sebarang tindakan tidak boleh dilakukan secara berasingan.
“Sekarang pun kita kenakan halangan. Sehingga hari ini jumlah yang telah didapati perlu dikurantin hanya lapan orang sahaja
“Mesti ada persefahaman dan keputusan bersama. KKM adalah penentu sekatan,” kata beliau lagi.
Johorkini