BM | EN | 中文

1,341 POLIS BERKAWAL HARI MENGUNDI ESOK

IMG-20191115-WA0018.jpg

 

PONTIAN, 15 NOV : Seramai 1,341 anggota polis dari pelbagai jabatan akan digerakkan untuk memastikan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai esok berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, anggota terlibat akan melakukan kawalan keselamatan dan juga kawalan lalu lintas bermula proses mengundi sehingga keputusan diumumkan.

“Persediaan untuk hari pengundian esok kita telah atur gerak pegawai dan anggota dari semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), bahagian jenayah, trafik dan cawangan khas.

“Mereka akan menjalankan tugas memastikan PRK berjalan lancar tanpa ada gangguan sehingga boleh menimbulkan  kegusaran pengundi yang akan keluar membuang undi di 27 pusat undi bagi dua Dun disini,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak tiga jalan akan ditutup esok iaitu Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan untuk proses penjumlahan undi.

Susulan itu katanya, orang ramai boleh menggunakan Jalan Bakek, Jalan Alsagoff dan Jalan Parit Mesjid sebagai laluan alternatif.

“Penutupan jalan tersebut adalah untuk proses penjumlahan undi selepas proses membuang undi selesai jam 5 petang di mana peti-peti undi akan dibawa ke pusat undi. Penutupan jalan bermula jam 8 pagi hingga selesai pengumuman calon yang menang.

“Kita nasihatkan kepada penyokong parti di mana tempoh berkempen sudah tamat pada hari esok dan hanya berlangsung proses membuang undi sahaja.

“Kita harap tidak ada gangguan dari pihak terlibat bagi memastikan proses demokrasi dapat berjalan lancar. Para pengundi juga dinasihatkan agar keluar lebih awal,”katanya lagi.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top