BM | EN | 中文

13 hotel di Johor tutup akibat pandemik Covid-19

johor.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 2 DIS: Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor dimaklumkan bahawa 13 hotel di negeri ini telah menutup operasinya susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai penutupan hotel-hotel itu tidak didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau, bagaimanapun, berkata penutupan sempadan Malaysia-Singapura sehingga kini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac telah mengakibatkan kadar purata penginapan di Johor turun kepada 27.66 peratus pada Ogos tahun ini, berbanding 57.3 peratus pada 2019.

Advertisement

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan pemandu pelancong di negeri itu hilang punca pendapatan dan jumlah pelawat di taman-taman tema serta pusat beli-belah juga merosot.

“Kerajaan negeri sedar tentang betapa pentingnya pembukaan sempadan Malaysia-Singapura terutamanya untuk sektor pelancongan. Sebab itu, Menteri Besar membawa perkara ini ke Putrajaya setiap minggu, bukan sahaja dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara tetapi juga ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC).

“Namun begitu, kita maklum bahawa untuk agenda pembukaan sempadan ini berjaya, ia memerlukan dua resipi utama iaitu persefahaman dan persetujuan antara kerajaan negeri, kerajaan pusat dan Singapura selain mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan, yang mana angka kes COVID-19 perlu rendah di kedua-dua negara,” kata Onn Hafiz.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (PH-Stulang), Datuk Zulkurnain Kamisan (PN-Sri Medan) dan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) semalam yang bertanyakan tentang usaha kerajaan negeri dalam memulih sektor pelancongan termasuk membantu agensi pelancongan yang terkesan.

Onn Hafiz berkata kerajaan Johor telah menyediakan beberapa inisiatif bagi memastikan sektor pelancongan mampu bertahan dan sekali gus membolehkannya terus berdaya maju pada masa depan.

Inisiatif termasuk sumbangan sekali beri sebanyak RM1,000 kepada pemandu pelancong berdaftar, pengecualian pembayaran lesen perniagaan dan duti hiburan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor 2020 bagi membantu penggiat industri pelancongan.

Advertisement

Selain itu, katanya sesi libat urus bersama penggiat industri juga telah diadakan, di samping usaha memperkenalkan program Majestic Johor, menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Iskandar Puteri (IPTAC) dan Jawatankuasa Pelancongan Perubatan Johor (JMTC).

“Bagi tahun hadapan pula, kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif seperti meneliti semula Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014-2023 bagi memastikan hala tuju sektor pelancongan dapat dirancang dengan lebih tersusun dan mengikut trend semasa, membangunkan Johor Tourism Interchange (JTI) bagi mentransformasi ekonomi digital pelancongan dan menyediakan Baucar Pelancongan berjumlah RM1.5 juta untuk pusat penginapan dan beli-belah terpilih.

“Selain itu, peruntukan RM5 juta disediakan bagi membangun dan menaik taraf prasarana pelancongan di Johor yang merangkumi kemudahan asas pelancongan di daerah, inap desa, desastay dan Taman Negara,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top