BM | EN | 中文

126,000 penerima vaksin disuntik sehari mulai 26 Februari

dr-adham-baba-KKM.png
Advertisement

KULAI, 13 FEB: Kira-kira 126,000 rakyat negara ini dijangka disuntik vaksin COVID-19 sehari, menerusi Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang bermula 26 Februari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata seramai tujuh vaksinator (petugas menyuntik vaksin) akan disediakan di setiap 600 lokasi vaksinasi yang ditetapkan di setiap lokaliti atau kawasan seluruh negara.

“Sebanyak 600 lokasi vaksinasi seluruh negara sudah ditetapkan dengan tujuh vaksinator akan disediakan di setiap lokaliti atau kawasan.

Advertisement

“Tujuh vaksinator itu akan menyuntik vaksin COVID-19 kepada maksimumnya, seramai 30 penerima setiap hari. Bermakna bagi setiap lokaliti atau kawasan, seramai 210 penerima vaksin akan disuntik.

“Kerajaan menyasarkan menyuntik seramai 126,000 penerima vaksin sehari mulai 26 Februari ini dengan fasa pertama penerimanya adalah golongan barisan hadapan iaitu anggota KKM yang terdedah kepada wabak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM),

Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain beberapa kategori lagi yang ditetapkan kerajaan.

Advertisement

“Kesemua yang akan divaksin termasuk barisan hadapan perlu mengisi dokumen khas yang sama ada dimuat turun di aplikasi MySejahtera atau dihantar petugas khas seminggu sebelum mereka dijadualkan mengambil suntikan vaksin.

“Semua yang akan divaksin juga akan mempunyai jadual waktu masing-masing bagi mengelakkan kesesakan di lokasi vaksinasi dan penerima juga tidak perlu menunggu lama termasuk untuk mengisi borang kerana ia sudah disiapkan lebih awal,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu KKM, PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ke penempatan pekerja warga asing di kawasan industri Senai, di sini, hari ini.

Advertisement

Bulan lalu, Dr Adham dilaporkan berkata, Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 negara akan bermula penghujung bulan ini dengan sejuta vaksin dari Pfizer-BioNTech akan diagih dan disuntik bagi fasa pertama.

Kerajaan dilaporkan akan memberi vaksin secara percuma kepada semua rakyat untuk sasaran 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu.

Sementara itu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, fasa kedua Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 akan dimulakan Mac ini.

Advertisement

“Fasa kedua akan terus bermula Mac ini, tanpa perlu menunggu proses vaksin fasa pertama yang bermula 26 Februari ini yang dijangka selesai April nanti.

“Bagi penerima vaksin fasa kedua, ia membabitkan penerima warga emas berusia 60 ke atas serta golongan rentan yang menghidap penyakit kronik termasuk diabetis dan darah tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham menafikan berlaku kelewatan dalam pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat seperti anggapan sesetengah pihak.

Advertisement

“Pengagihan vaksin adalah mengikut jadual dalam Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 dan tidak berlaku kelewatan kerana Malaysia sudah pun mendapatkan vaksin berkenaan secara rasmi dari pembekal ditetapkan kerajaan,” katanya.

Mengenai vaksin untuk pekerja warga asing pula, Dr Adham berkata, kerajaan akan turut memberi vaksin percuma kepada pekerja warga asing terutama yang bertugas di sektor penting terutama kesihatan.

“Ada warga asing yang menetap di Malaysia bekerja sebagai doktor, ahli farmasi dan pergigian selain pekerja sektor lain terutama perkilangan dan pembinaan.

Advertisement

“Bagaimanapun, kita akan mengutamakan Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 kepada rakyat tempatan dahulu sebelum meneliti warga asing bekerja dalam sektor berisiko lain,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top