BM | EN | 中文

12 lelaki ditahan dipercayai terlibat sindiket Along

PDRM-polis-tangkapan-jenayah.jpg

JOHOR BAHRU, 1 SEPT: Polis menahan 12 lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur, pada 15 dan 22 Ogos lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam serbuan pertama berdasarkan hasil maklumat dan risikan itu, seramai sembilan daripada mereka yang kesemuanya berumur lingkungan 23 dan 36 tahun, berjaya ditahan pada 15 Ogos lepas di sekitar bandar raya ini, Batu Pahat dan Kuala Lumpur.

“Penahanan pertama membabitkan seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Kepong dekat Kuala Lumpur, penahanan seterusnya membabitkan tujuh lelaki di sebuah bangunan rumah kedai di Pusat Perdagangan Danga Utama, di sini, manakala seorang lagi ditahan di Kampung Sungai Suloh dekat Batu Pahat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata menerusi serbuan kedua pada 22 Ogos pula, tiga lagi lelaki berumur antara 29 dan 46 tahun berjaya ditahan di Sepang dekat Selangor serta Skudai dan Johor Jaya, di sini.

Beliau berkata selain penahanan 12 lelaki terbabit, polis merampas sejumlah barangan dipercayai terlibat dengan sindiket itu termasuk 14 komputer riba, 52 telefon bimbit pelbagai jenama, 43 keping pelbagai kad sim, lima kereta, empat plastik lutsinar berisi cat merah, dua botol berisi cat merah serta satu unit pemprosesan pusat (CPU).

Ayob Khan berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah menyasarkan warga tempatan yang bekerja di Singapura dengan membuat pinjaman secara dalam talian, yang transaksi antara mangsa dan sindiket itu dilakukan menerusi transaksi akaun bank.

“Setelah pinjaman diperoleh dan hutang gagal dilunaskan, sindiket ini akan mencari alamat tempat tinggal mangsa.

“Sindiket itu seterusnya melakukan khianat dengan menggunakan cat merah dan cat semburan warna merah untuk menyimbah serta menconteng rumah mangsa bagi tujuan menakutkan mangsa selain turut membaling bom botol atau molotov cocktail bagi menyebabkan kebakaran,” katanya dengan menambah terdapat mangsa turut dirantai rumahnya dan ditinggalkan nota berbaur ugutan.

Ayob Khan berkata hasil semakan telefon dan kad sim yang dirampas mendapati terdapat beberapa nombor telefon yang digunakan oleh sindiket itu untuk menakutkan peminjam dengan menghantar video serta gambar setelah disimbah cat atau dibaling molotov cocktail.

Menurutnya, siasatan turut mendapati sindiket berkenaan akan menawarkan kerja-kerja khianat kepada para peminjam yang gagal melunaskan pinjaman sekiranya peminjam ingin melupuskan baki hutang.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, terdapat sejumlah telefon bimbit cuba dibakar oleh anggota sindiket berkenaan bagi menghapuskan bukti.

Ayob Khan berkata pihaknya kini sedang meneruskan siasatan dan operasi untuk menjejaki dalang-dalang di sebalik sindiket tersebut secara bersepadu antara pihak Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor.

Beliau berkata kesemua 12 yang ditahan itu, kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 5(2), 29B(1) dan 29B (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951; Seksyen 427, 435 dan 436 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Polis Johor sehubungan itu, menasihati orang ramai agar tidak membuat pinjaman dengan along sebaliknya menerusi institusi perbankan berdaftar bagi mengelakkan orang ramai terdedah kepada ancaman ugutan dan kerosakan harta benda.

“Sejak Januari hingga Ogos lepas, polis Johor sudah membuka 398 kertas siasatan berkaitan pinjaman wang tanpa lesen dengan 118 kes daripadanya disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Johor manakala 280 lagi disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. Satu pasukan petugas turut diwujudkan bagi mengesan dan menahan suspek terlibat,” katanya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top